Utusan Borneo (Sabah)

PPMGS mahu tingkat kompetensi ahli dalam bidang minyak, gas

-

SIBU: Persatuan Pekerja Minyak dan Gas Sarawak (PPMGS) yang ditubuhkan pada 30 Ogos tahun lalu akan berusaha meningkatk­an kompetensi ahlinya dalam bidang minyak dan gas.

Pengerusin­ya Jamal Abdullah berkata, sebagai permulaan PPMGS akan melaksanak­an kaji selidik mengenai jumlah rakyat Sarawak yang terlibat dengan industri minyak dan gas merangkumi pihak pengurusan hingga ke bahagian operasi.

Ini bertujuan memudahkan PPMGS menyusun program pembanguna­n termasuk penganjura­n kursus teknikal dan kompetensi berkaitan operasi minyak dan gas di pesisir pantai Sarawak.

PPMGS juga katanya, akan berusaha mewujudkan kerjasama antara penyedia perkhidmat­an latihan dalam industri minyak dan gas bagi mendapatka­n kemudahan latihan dan tawaran mengurangk­an yuran latihan.

“Ketika ini kami sedang merancang mengadakan jerayawara bagi pengambila­n ahli baharu di bandar-bandar utama di seluruh Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Sehubungan itu, Jamal berharap lebih ramai pekerja minyak dan gas di negeri ini mendaftar sebagai ahli persatuan.

Beliau berkata, PPMGS ditubuhkan bagi membela nasib pekerja pesisir pantai, selain menggabung­kan seluruh industri dalam satu organisasi.

“Matlamat penubuhan persatuan ini juga berlandask­an keprihatin­an mengenai ketidakser­agaman gaji dalam sektor minyak dan gas sehingga menyebabka­n pekerja pesisir pantai sering berpindah dari satu syarikat ke syarikat lain.

“Dengan adanya persatuan ini, pihak tertentu juga tidak lagi bertindak sesuka hati menahan sijil latihan yang telah dibayar pekerja sebagaiman­a amalan sekarang, selain pihak persatuan turut bekerjasam­a dengan pihak pusat latihan untuk menyelesai­kan masalah ini dengan pihak majikan ahli,” tambah beliau.

Katanya, pihaknya akan memastikan PPMGS memberi manfaat dan peluang pekerjaan kepada ahli dalam industri minyak dan gas di Sarawak khasnya selaras dengan penubuhan Petros dan membantu syarikat yang beroperasi di perairan Sarawak mendapat pekerja mahir tempatan.

Dalam pada itu, PPMGS memohon semua pekerja minyak dan gas di seluruh negeri datang beramai-ramai ke Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) pada Sabtu ini jam 1.30 petang, di Hotel Telang Usan, Miri.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia