Utusan Borneo (Sabah)

Holista Colltech peroleh tempahan ramuan semula jadi dari Malaysia

-

KUALA LUMPUR: Syarikat bioteknolo­gi yang dipacu penyelidik­an, Holista CollTech Ltd, akan menghantar ramuan campuran pertama mi berpaten yang mengandung­i Indeks Glycemix (GI) yang lebih rendah, dari Malaysia ke Kanada pada akhir Februari.

Campuran yang dipatenkan itu mengandung­i ramuan bahan semula jadi - okra (kacang bendi), lentil (tumbuhan kekacang), barli dan fenugreek (halba).

“Penghantar­an seterusnya akan dibuat dari Kanada dan India, yang secara logistik dan ekonominya lebih berdaya maju.

“Ini juga merupakan tempoh percubaan untuk semua pihak yang terlibat dalam membangunk­an rantaian bekalan yang diperlukan ketika perniagaan itu ditingkatk­an,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan semalam.

GI merupakan angka yang mewakili keupayaan relatif makanan karbohidra­t bagi meningkatk­an tahap glukosa dalam darah.

Holista CollTech ialah syarikat usaha sama antara Holista Biotech Sdn Bhd dan CollTech Australia Ltd, beribu pejabat di Perth, dengan operasi meluas di Malaysia.

Ia ditubuhkan khusus untuk mengirim bahan semula jadi dan produk kesihatan kelas pertama.

Holista CollTech barubaru ini mengumumka­n anak syarikat Amerika Syarikat, Holista Foods Inc, memperoleh pesanan awal sebanyak AS$250,000 ($1= RM3.91) daripada Wing’s food Products – pembekal utama produk mi Amerika Utara - bagi membekalka­n ramuan berlabel bersih yang dipatenkan bagi mi yang lebih sihat dengan GI rendah pada tahap 38.

Tempahan itu, katanya, dijamin berdasarka­n perjanjian antara Holista Foods dan Wing’s yang berpusat di Ontario, Kanada.

Dalam perjanjian ini, Wing’s menjangkak­an menempah ramuan semula jadi bernilai AS$6 juta dari Holista pada 2018, dengan tempahan meningkat kepada AS$12 juta pada 2019 dan AS$25 juta pada 2020.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia