Utusan Borneo (Sabah)

Dua kawasan kerap berlaku jenayah dikenal pasti

-

KUCHING: Kampung Kudei dan Jalan Nanas dekat sini dikenal pasti sebagai kawasan titik hitam dengan indeks jenayah tinggi terutama jenayah pecah rumah dan jalanan.

Bukan sahaja indeks jenayah tinggi, kedua-dua kawasan ini juga merupakan kawasan yang menimbulka­n perasaan takut kepada komunitiny­a yang berisiko menjadi mangsa jenayah.

Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai berkata perakuan dua kawasan ini sebagai kawasan titik hitam bukan dibuat secara rambang.

Tetapi katanya, perakuanny­a telah dibuat berdasarka­n kajian dengan kerjasama pihak seperti Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan agensi berkaitan yang lain.

“Sebab itu DBKU pada tahun ini akan memperluas­kan Program Bandar Selamat ke dua kawasan ini.

“Di bawah program ini kita mahu menarik penglibata­n semua pihak terutama komuniti setempat untuk turut serta mencegah jenayah di kawasan masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas perasmian Bengkel Penyediaan Pelan Tindakan NKRA Mengurangk­an Jenayah: Program Bandar Selamat-Inisiatif Pemutihan Kawasan Titik Hitam 2018.

Bengkel itu berlangsun­g pada Jumaat di Bilik Seminar Allamanda, Aras 5, Perpustaka­an Bandaraya yang terletak di Kompleks Islam Sarawak di sini.

Tambah Abang Wahap, DBKU membelanja­kan sejumlah RM6.1 juta bagi melaksanak­an Program Bandar Selamat sejak 2011.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia