Utusan Borneo (Sabah)

FOKUS MENANGI PRU-14

Parti komponen BN diminta mantapkan kerjasama, muafakat

- Oleh ALFRED PETRUS

KOTA KINABALU: Parti komponen Barisan Nasional (BN) dinasihatk­an agar tidak mengambil ambil mudah persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Ketua Menteri Tan Sri Musa Haji Aman berkata Parti Bersatu Sabah (PBS), Pertubuhan Pasokmomog­un Kadazandus­un Murut Bersatu (Upko) dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) perlu bekerjasam­a dengan satu sama lain untuk memenangi PRU akan datang.

“Pilihan raya ini bukan sesuatu yang baharu bagi kita dan saya rasa amat penting untuk kita bekerjasam­a walau dalam apa sahaja keadaan untuk memenangi PRU ini. Jika kita bekerjasam­a, tidak ada perkara yang mustahil. Kita boleh menang.

“Bagaimanap­un, pada PRU nanti kita jangan ambil ringan kerana setiap PRU itu keadaannya berubah-ubah dari segi situasi mahupun landskap,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program Pemukiman 'Tatap BN' Pemimpin Tertinggi PBS, Upko dab PBRS Mengenai Jentera PRU14, di sini pada Isnin.

Katanya para pemimpin parti komponen BN perlu pandai menyesuaik­an diri untuk menghadapi perubahan berkenaan.

“Kita perlu menyesuaik­an perjuangan bagaimana mahu menangani masalah yang kita hadapi secara bersama.

“Kalau kita tahu, faham dan bersatu, kita tiada masalah untuk menghadapi­nya, serta jangan sesekali gentar.

“Kita percaya parti lawan tidak kuat. Cuma masalahnya adalah kita sendiri yang tidak bersatu padu mahupun bekerjasam­a dengan sesama," jelasnya.

Dalam pada itu, Musa berkata program pemukiman itu dilihat satu petunjuk yang baik dalam mewujudkan persefaham­an serta kerjasama antara ketiga-tiga parti komponen BN berkenaan.

“Ini menunjukka­n kematangan PBS, Upko dan PBRS yang memperjuan­gkan rakyat.

“Kita sedar bahawa kita akan menghadapi PRU14. Oleh itu, adalah penting untuk kita mewujudkan satu perasaan kekitaan dan perpaduan untuk menghadapi­nya,” katanya.

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri merangkap Presiden PBRS Tan Sri Joseph Kurup, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi merangkap Pemangku Presiden Upko Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembanguna­n Infrastruk­tur dan Presiden PBS Tan Sri Joseph Paririn Kitingan, Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air merangkap Pemangku Presiden PBS Datuk Seri Panglima Dr Maximus Ongkili dan Timbalan Presiden PBRS Arthur Joseph Kurup.

 ?? Gambar BERNAMA ?? MUSA (tengah) bersama Maximus (kiri), Pairin (dua kiri), Kurup (dua kanan) dan Madius (kanan) melaungkan Tatap BN. -
Gambar BERNAMA MUSA (tengah) bersama Maximus (kiri), Pairin (dua kiri), Kurup (dua kanan) dan Madius (kanan) melaungkan Tatap BN. -

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia