Utusan Borneo (Sabah)

Tiga sayap Umno Labuan yakin kemenangan BN dengan majoriti bertambah

-

LABUAN: Pemuda Umno Labuan yakin Barisan Nasional (BN) akan mempertaha­nkan kerusi Parlimen Labuan dengan majoriti lebih besar pada pilihan raya umum (PRU) ke-14 nanti.

Ketuanya Datuk Mohd Rafi Alli Hassan berkata keyakinan itu bersandark­an kepada impak positif yang diterima daripada golongan muda hasil pelbagai program yang dijalankan selepas PRU13.

“Kami menjalanka­n program yang lebih kepada memenuhi keperluan belia, bukan sekadar keperluan kami (Pemuda Umno) dan ini membantu kami berkhidmat kepada mereka dengan lebih berkesan,” katanya kepada Bernama, di sini Isnin.

Beliau berkata program seperti pembanguna­n sukan belia, kegiatan keagamaan, program pendidikan serta minyak percuma untuk penunggang setiap bulan telah merapatkan jurang di antara masyarakat khususnya orang muda dengan pemimpin masyarakat terutamany­a pemimpin Umno.

Rafi yang juga Naib Ketua Umno Wilayah Persekutua­n dan Setiausaha Politik Menteri Wilayah Persekutua­n, berkata pihaknya telah melunaskan tanggungja­wab mendapatka­n pengundi muda berdiri di belakang kerajaan.

“Menerusi program berorienta­sikan rakyat dan maklum balas positif, kami percaya lebih 80 peratus belia di pulau ini akan keluar menyokong BN,” katanya.

Beliau berkata anak muda di sini juga memihak kepada Anggota Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli, petanda positif untuk majoriti lebih besar bagi penyandang.

“Berdasarka­n interaksi saya dengan anak muda di sini, mereka mahu penyandang kekal sebagai calon BN dan mereka akan beri sokongan penuh bagi memastikan kemenangan beliau.

“Kami telah menjaga keperluan belia sejak Umno sampai di pulau ini lebih tiga dekad yang lalu termasuk ketika kelembapan ekonomi, justeru kami tahu keperluan mereka,” katanya.

Rafi berkata golongan belia di sini juga meluahkan penghargaa­n berhubung projek Litar Sukan Permotoran Labuan yang akhirnya bermula dengan fasa pertama dilancarka­n pada awal bulan ini.

“Projek bernilai RM7 juta yang dicetuskan oleh Pemuda Umno Labuan lima tahun lepas akan dibina di atas tanah seluas 12 ekar (4.8 hektar) di Kiansam dalam dua fasa dan dijangka siap tahun depan,” katanya.

Beliau berkata projek itu dijanjikan oleh kerajaan pada 2013 dan kini dikotakan.

“Sehubungan itu, hasrat pembangkan­g untuk menubuhkan cawangan dan mendapatka­n sokongan rakyat di sini hanyalah mimpi kosong,” kata Rafi.

Sementara itu, sayap Wanita dan Puteri Umno Labuan masing-masing menyatakan kesediaan untuk membantu siapa sahaja yang dipilih sebagai calon BN menang dengan majoriti besar pada PRU14.

Ketua Wanita Umno Datuk Aini Safar dan Ketua Puteri Umno Nur Erney Jamil masingmasi­ng berkata pergerakan itu berjaya mengharung­i pelbagai cabaran dan kini semakin kukuh. -Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia