Utusan Borneo (Sabah)

Rozman hargai sumbangan kaum Tionghua

-

LABUAN: Ahli Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli menghargai peranan dan sumbangan pemimpin dan masyarakat Tionghua sejak memegang jawatan itu empat tahun lalu.

Beliau yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN) Labuan menegaskan sejak dipilih sebagai wakil rakyat, pemimpin komuniti kaum Tionghua sama ada yang berteraska­n politik, badan bukan kerajaan (NGO) mahupun perniagaan sentiasa memberikan sokongan padu dan bekerjasam­a dengan beliau menjayakan pelbagai program kemasyarak­atan.

“Komitmen dan kerjasama pemimpin serta masyarakat kaum Tionghua sejak empat tahun lalu amat tinggi. Saya berharap mereka akan meneruskan momentum itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14),” katanya.

Rozman berkata demikian kepada media pada sambutan Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina 2018 peringkat Wilayah Persekutua­n Labuan di Dewan Serbaguna Perbadanan Labuan pada Ahad.

Lebih 5,000 masyarakat Tionghua bersama kaum Melayu, Kadazandus­un dan India hadir memeriahka­n program anjuran Parti MCA dan Gerakan itu, sekaligus membuktika­n perpaduan yang jitu dalam kalangan rakyat di Labuan.

Rozman berkata kehadiran pengunjung yang ramai itu merupakan petanda positif bahawa masyarakat Cina akan terus kekal bersama BN pada PRU14.

“Saya ucapkan terima kasih kepada pemimpin MCA dan Gerakan serta komuniti Tionghua yang gigih meraih kembali kepercayaa­n rakyat khususnya pengundi Cina agar dapat bersama-sama memberi fokus kepada agenda membangunk­an Labuan,” katanya.

Mengenai kehadiran parti pembangkan­g, Rozman berharap rakyat akan dapat menilai pemimpin dan parti mana yang sentiasa membela nasib mereka selama ini.

“Saya bersama kepimpinan komponen BN yang diterajui Umno sentiasa membela nasib rakyat sejak sekian lama bukan pada musim PRU sahaja. Jadi saya berharap rakyat tidak terkeliru dan terpedaya dengan tindakan segelintir pemimpin pembangkan­g yang kononnya membantu rakyat,” katanya.

Pada majlis itu, Rozman bersama Pengerusi MCA Labuan Datuk Chin Hon Vui dan Pengerusi Parti Gerakan Labuan Datuk Oi Thiam Beng menyampaik­an angpau kepada warga emas dan kanak-kanak.

Ahli Dewan Negara Senator Datuk Bashir Alias, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan Datuk Azhar Ahmad dan Presiden Dewan Perniagaan Tionghua Labuan Datuk Wong Kii Yii adalah antara pemimpin yang menghadiri majlis yang bermula jam 11 pagi itu.

Hadir sama, Ketua PBS Labuan Datuk Peter Mak, Ketua Upko Labuan Datuk Ronald James dan pemimpin masyarakat.

 ??  ?? ROZMAN (empat kanan) bersama pemimpin kaum Tionghua yang menganjurk­an majlis itu. Turut kelihatan, Chin (dua kiri) dan Oi (tiga kanan).
ROZMAN (empat kanan) bersama pemimpin kaum Tionghua yang menganjurk­an majlis itu. Turut kelihatan, Chin (dua kiri) dan Oi (tiga kanan).
 ??  ?? ROZMAN bercakap kepada pemberita pada majlis rumah terbuka itu. Turut kelihatan, Chin (kanan) dan Oi (tiga kiri).
ROZMAN bercakap kepada pemberita pada majlis rumah terbuka itu. Turut kelihatan, Chin (kanan) dan Oi (tiga kiri).

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia