Utusan Borneo (Sabah)

Dasar k’jaan BN terbaik

Letakkan negara pada asas kukuh, kata Najib

-

PORT DICKSON:Pelbagai dasar yang dilaksanak­an kerajaan Barisan Nasional (BN) terbukti mampu meletakkan Malaysia pada asas semakin kukuh yang membawa ke arah masa depan yang diimpikan rakyat, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata ini dibuktikan daripada kemasukan pelaburan asing yang memilih Malaysia sebagai tapak untuk mereka mengembang­kan perniagaan, khususnya untuk pasaran Asean.

“Saya baru selesai majlis sebelum bertolak ke sini dengan Groupe PSA dari Perancis. PSA ini pemilik jenama Peugeot. Pada majlis tersebut, kita menandatan­gani usahasama dengan kerjasama Kumpulan Naza yang mana PSA telah memilih Gurun, Kedah sebagai tapak untuk rantau Asean keluarkan kereta bagi pasaran negara Asean.

“Saya tanya kepada naib presiden eksekutifn­ya, kenapa pilih Malaysia. Dia kata kerana dia yakin dengan dasar-dasar kerajaan kita,” katanya berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Dataran Kompleks Pentadbira­n Daerah Port Dickson, pada Isnin.

Selain PSA, Najib berkata turut berminat menjadikan Malaysia sebagai tapak perniagaan untuk rantau Asean, Timur Tengah dan India adalah SK Group dari Korea Selatan.

Najib berkata hasil pendapatan SK Group mencecah kira-kira US$123 bilion atau RM500 bilion setahun, berbanding Malaysia yang memperoleh pendapatan RM280 bilion setahun.

“SK Group ada teknologi 5G. Sekarang kita pakai 4G. 5G Berpuluh kali lebih pantas daripada 4G. Syarikat Fortune 100 ini pilih Malaysia sebagai tapak di rantau ini,” katanya.

Jumaat lepas, Kementeria­n Kewangan bersama SK Group memeterai Perjanjian Persefaham­an (MoU) untuk permulaan kerjasama kreatif dalam bidang utama, seperti ICT, 5G, minyak dan gas serta teknologi hijau, serta pembanguna­n bandar.

Pada majlis itu, SK Group iaitu Syarikat Fortune 100 yang juga konglomera­t kedua terbesar dari segi permodalan pasaran di Korea Selatan mengumumka­n untuk membuka ibu pejabat serantau di Malaysia bagi meliputi Asean, India dan Timur Tengah. - Bernama

“Ini dibuktikan daripada kemasukan pelaburan asing yang memilih Malaysia sebagai tapak untuk mereka mengembang­kan perniagaan, khususnya untuk pasaran Asean. ” DATUK SERI NAJIB TUN RAZAK Perdana Menteri

 ?? -Gambar Bernama ?? NAJIB ketika hadir pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Teluk Kemang Port Dickson hari ini.Turut sama Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan.
-Gambar Bernama NAJIB ketika hadir pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Teluk Kemang Port Dickson hari ini.Turut sama Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia