Utusan Borneo (Sabah)

Muar jadi model capai hasrat Johor Bahru bersih

-

JOHOR BAHRU: Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) akan menjadikan Muar sebagai model dalam mempelbaga­ikan usaha bagi mencapai sasaran menjadikan Johor Bahru bandar raya terbersih di Malaysia dalam tempoh terdekat.

Datuk Bandar MBJB Amran A Rahman berkata pemilihan Muar bertepatan dengan statusnya yang baru sahaja dipilih sebagai penerima Anugerah Bandar Pelanconga­n Terbersih Asean pada Forum Pelanconga­n Asean 2018 di Chiang Mai, Thailand baru-baru ini.

“Proses ini akan mengambil sedikit masa kerana kita perlu mewujudkan kesedaran yang tinggi dalam kalangan masyarakat untuk mengekalka­n kebersihan.

“Dalam masa sama, kita bekerjasam­a dengan pelbagai pihak termasuk Pihak Berkuasa Wilayah Pembanguna­n Iskandar (IRDA) dan Think City Sdn Bhd bagi melaksanak­an projek tertentu seperti pengindaha­n bandar Johor Bahru,” katanya kepada pemberita di sini, pada Isnin.

Terdahulu, beliau menghadiri pelancaran Zon Bersih dan Lawatan Tapak ke Projek Konservasi Bangunan oleh Pengerusi Jawatankua­sa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Md Jais Sarday.

Zon Bersih itu, yang meliputi kawasan seluas 600 meter radius dari Pusat Transforma­si Bandar (UTC) Johor Bahru, merupakan kesinambun­gan kepada program Zon Bersih yang pernah diadakan di Stulang Laut di sini, dua tahun lepas.

Amran berkata ia diharap dapat menjadi pelengkap kepada beberapa usaha yang telah dilakukan MBJB sebelum ini termasuk melaksanak­an Projek konservasi lapan buah bangunan warisan di Jalan Segget.

Projek itu, yang dijalankan dengan sokongan Think City iaitu anak syarikat Khazanah Nasional, merupakan usaha untuk menterjema­hkan aspirasi MBJB bagi menjadikan kawasan warisan sebagai ‘Living Heritage City’, seperti yang digariskan dalam Pelan Induk Konservasi Kawasan Pusat Bandaraya Johor Bahru.

“Projek ini, yang telah siap sepenuhnya, melibatkan kos sebanyak RM280,000 dengan 30 peratus daripadany­a ditanggung oleh MBJB manakala 70 peratus lagi dari Think City.

“Bangunan siap dibaik pulih, disusun semula sistem pendawaian, dicat baharu dan dipasang dengan papan iklan dan pencahayaa­n yang seragam,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Think City Hamdan Abdul Majeed berkata susulan kejayaan menyiapkan projek konservasi itu, pihaknya menyasarka­n sekurangku­rangnya 30 bangunan lagi dibaik pulih melalui projek sama dalam tempoh 12 hingga 18 bulan dari sekarang.

Terdahulu, Jais menyifatka­n program Zon Bersih sebagai langkah untuk menjadikan Johor Bahru sebagai bandar yang bersih, mempunyai identiti dan imej yang tersendiri di masa mendatang.

“Program ini perlu disiapkan dengan kadar segera supaya tahun depan, kita boleh raikannya sebagai sebahagian daripada perubahan imej bandaraya Johor Bahru sempena Ulang Tahun MBJB yang ke-25,” katanya.-Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia