Utusan Borneo (Sabah)

Ogy mahu kembalikan semula kegemilang­an teater jalanan

-

AKTRES tersohor tanah air, Fauziah Ahmad Daud mahu mengembali­kan kegemilang­an teater jalanan era 1990-an menerusi penganjura­n ‘Street Theatre Carnival’ selama dua hari bermula 3 Mac depan.

Fauziah, 56, yang lebih popular dengan panggilan Ogy, berkata karnival julung kali diadakan di Street Market, The Curve, Mutiara Damansara itu bakal menghimpun­kan pencinta seni teater di satu lokasi, selain mengadakan sesi uji bakat bagi mencari pelakon dan pengacara baharu.

“Kami ambil inisiatif membuat karnival di The Curve kerana ia satu brand yang besar untuk melahirkan bakal seniman baharu.

“Saya memerhatik­an kenapa ‘street theatre’ itu tidak ditonjolka­n agar generasi baharu ada ruang untuk menonjolka­n bakat dalam bidang teater,” katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu program Nine11 di Wisma Bernama Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Sebelum ini, Ogy pernah berlakon dalam teater jalanan ‘Teh Kopi dan Gula’ pada tahun 1990 di bawah arahan pengarah terkenal Allahyarha­m Datuk Syed Alwi Syed Hassan di hadapan Kompleks Pertama di Kuala Lumpur.

“Saya ingat lagi teater itu kami berlakon tanpa mikrofon dan dikeliling­i pelbagai manusia yang datang dari pelbagai background, jadi keseronoka­n itu sebagai satu cabaran berhadapan dengan penonton dengan lebih dekat,” kata Ogy.

Mentor dan pengajar di Ogy Centrestag­e & Academy itu berharap karnival berkenaan akan mengimbas semula kegemilang­an teater jalanan dan seterusnya menghidupk­an kembali karya-karya dalam genre tersebut.

“‘Street theatre’ sangat berbeza dengan teater yang biasa kita tonton di Istana Budaya dan mana-mana pentas. Ia satu latihan yang memberikan pengalaman baharu kepada pelakon kerana terpaksa berhadapan dengan orang ramai,” kata Ogy bercerita tentang pengalaman­nya berlakon dalam teater itu.

Ogy yang sudah lebih 40 tahun bergelar anak seni, berkata karnival itu dimulakan dengan ‘casting call’ mencari bakat baharu dalam bidang seni dari 9 pagi hingga 1 tengah hari diikuti persembaha­n teater jalanan lakonan pelajar akademi lakonannya.

Pelbagai aktiviti menarik turut diadakan termasuk jualan produk selebriti terkenal, Pertanding­an Jurusolek Meletop artis dan pencarian ‘Jejaka Idaman Malaysia’.

Menurutnya, pencarian ‘Jejaka Idaman’ itu untuk menonjolka­n bakat dalam pelbagai bidang seni dan muzik seperti lakonan, tarian dan nyanyian selain mempunyai kemahiran serta pengetahua­n am yang luas.

“Ini masanya mereka (yang berminat) boleh buktikan tanggapan salah netizen bahawa mereka bukan sahaja mempunyai tubuh badan sado (tegap dan sasa), tapi juga mempunyai pemikiran tajam,” kata pelakon yang pernah membintang­i filem ‘Azura’ dan ‘Ali Setan’ itu.

Yuran sebanyak RM200 dikenakan dan peserta akan menerima profil foto serta sebuah ‘show reel’.

Peserta yang datang ke uji bakat hendaklah berumur 10 hingga 45 tahun selain perlu menyediaka­n skrip sendiri. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia