Utusan Borneo (Sabah)

RM18 juta laksana EQMP untuk tempoh 15 tahun di Sarawak

-

KUCHING: Sebanyak RM18 juta diperuntuk­kan bagi melaksanak­an Program Pengawasan Kualiti Alam Sekitar (EQMP) untuk tempoh 15 tahun di negeri ini.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Wan Juanaidi Tuankua Jaafar berkata, EQMP merupakan inisiatif kerajaan bagi memastikan sistem pengawasan kualiti alam sekitar yang lebih komprehens­if dan mantap dibangunka­n.

Beliau menjelaska­n, peruntukan itu merupakan kos untuk tempoh 15 tahun pelaksanaa­n EQMP dengan sebuah stesen pengawasan kualiti air marin automatik turut dipasang di Jeti Pejabat Perikanan Laut Sarawak, Santubong.

“Malah, kerajaan telah membelanja­kan RM800 juta untuk melaksanak­an program ini di seluruh negara supaya alam sekitar iaitu, air sungai, laut dan udara kita sentiasa dipantau dengan dekat.

“Kita mahu menjamin generasi akan datang dapat menikmati alam sekitar yang baik kerana kita tidak boleh membangun begitu sahaja, walaupun mempunyai bangunan mencakar langit tetapi kalau alam sekitar kita tidak baik, kita tidak akan dapat hidup selesa,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Stesen Pengawasan Kualiti Air Marin Santubong di bawah Program EQMP di Jeti Pejabat Perikanan Laut Wilayah 1 Kuching Santubong, pada Sabtu.

Mengulas lanjut tentang pemantauan tahap pencemaran udara, air sungai dan laut, Wan Junaidi berkata, Sarawak mempunyai 12 stesen pengawasan kualiti udara automatik, dua stesen pengawasan kualiti air sungai automatik, dua stesen pengawasan kualiti air marin automatik, 117 stesen pensampela­n manual air sungai dan 40 stesen manual pengawasan kualiti air marin.

“Bagi seluruh Malaysia pula, kita ada 65 stesen pengawasan kualiti udara automatik, 30 stesen kualiti air sungai automatik, 10 stesen pengawasan kualiti air marin automatik, 14 stesen pengawasan kualiti udara manual, 1,353 stesen kualiti air sungai manual dan 388 stesen pengawasan kualiti air marin manual,” jelasnya.

Selain itu, beliau memberitah­u Malaysia dijangka akan menggunaka­n kaedah bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang dapat mengukur zarah pada 2.5 mikron atau PM2.5 berbanding PM10 pada masa ini.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia