Utusan Borneo (Sabah)

Dua ditahan akibat laku peras ugut

-

SEREMBAN: Polis Seremban menahan dua individu yang disyaki melakukan peras ugut terhadap seorang tukang jahit warganegar­a India, di sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah ACP Thiew Hock Poh berkata kedua-dua suspek yang berusia 45 tahun itu ditahan pada 8 malam Sabtu oleh sepasukan pegawai dan anggota daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban, yang melakukan intipan di lokasi kejadian selepas menerima laporan daripada mangsa.

“Mangsa telah dituduh bekerja tanpa permit yang sah dan diperas ugut sebanyak RM6,000 oleh seorang daripada suspek melalui tiga panggilan telefon pada 1 dan 3 Mac lepas.

“Mangsa yang memaklumka­n suspek bahawa dia hanya mempunyai wang tunai RM300 telah diarah meletakkan duit berkenaan di dalam sebuah beg dan diletakkan di hadapan sebuah kedai berhampira­n tempat mangsa bekerja,” katanya dalam kenyataan, di sini.

Thiew berkata polis turut merampas kenderaan Proton Waja yang digunakan keduadua suspek, tiga buah telefon bimbit dan sebuah beg yang mengandung­i wang tunai berjumlah RM300 yang dipercayai milik mangsa.

“Hasil soal siasat, suspek mengaku terlibat dengan empat kes peras ugut di Seremban dan satu kes di Port Dickson menggunaka­n modus operandi yang sama,” katanya.

Kedua-duanya direman empat hari sehingga Rabu depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan kerana melakukan pemerasan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia