Utusan Borneo (Sabah)

Struktur hutang, aset luar Malaysia boleh jadi penampan kejutan luar: IMF

-

KUALA LUMPUR: Struktur hutang dan aset luar Malaysia berjaya meningkatk­an ketahannya terhadap kejutan luar dan pergerakan tukaran asing, kata Tabung Kewangan Antarabang­sa (IMF).

“Penilaian oleh petugas kami mendapati hutang luar Malaysia mampu bertahan menghadapi pelbagai kejutan,” katanya pada Khamis.

Hutang luar Malaysia berjumlah RM873.8 bilion atau US$204.7 bilion sehingga akhir September 2017, bersamaan 65 peratus keluaran dalam negara kasar (KDNK) (2016: RM916.9 bilion atau US$202.3 bilion; 74.5 peratus KDNK).

Hutang luar Malaysia disokong oleh struktur hutang yang memihak kepadanya, dengan kira-kira 34 peratus hutang luar adalah dalam mata wang ringgit.

Hutang selebihnya adalah dalam mata wang asing. sebahagian besarnya dipegang oleh institusi perbankan, yang tertakluk kepada pengurusan berhemat bank pusat, katanya dalam laporan yang disediakan oleh pasukan petugas IMF untuk pertimbang­an Lembaga Eksekutif pada 9 Feb, 2018, susulan perbincang­an yang berakhir pada 8 Dis, 2017, bersama pegawai Malaysia mengenai pembanguna­n dan dasar.

Laporan petugas itu selesai pada 24 Jan, 2018.

Penilaian petugas ke atas pendedahan pembiayaan luar negeri Malaysia yang lebih tinggi berbanding dengan negara setanding, tidak mengambil kira sepenuhnya tahap keterbukaa­n pasaran kewangan Malaysia secara menyeluruh.

Sebagai contoh, Malaysia mempunyai pasaran bon dalam mata wang tempatan kedua terbesar di Asia (berbanding KDNK, tidak termasuk Jepun), dengan penyertaan bukan pemastauti­n yang aktif.

Pendedahan luaran sektor perbankan juga adalah sejajar dengan amalan pengurusan kecairan berpusat bank tempatan dengan kehadiran serantau oleh bank asing yang besar dan kukuh, yang diperbadan­kan dalam negara. Sebarang penilaian juga perlu mempertimb­ang aset luaran Malaysia.

Aset luar Malaysia sebahagian besarnya adalah dalam mata wang asing (95 peratus), manakala sebahagian besar liabiliti Malaysia pula dalam mata wang tempatan (59.5 peratus).

Aset mata wang asing, bukan pelaburan langsung asing (FDI) melebihi liabiliti mata wang asing.

Justeru, potensi tuntutan ke atas rizab antarabang­sa daripada liabiliti bukan FDI adalah terhad, katanya. Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia