Utusan Borneo (Sabah)

Rendy terbaik Februari 2018

- Oleh DESMOND QWEK

KOTA KINABALU: Robson Rendy Rining membalas kepercayaa­n yang diberi oleh Jelius Ating dengan meraih Anugerah Pemain Terbaik Liga Perdana untuk bulan Februari 2018.

Aksi cemerlang penjaga gol berusia 25 tahun itu berjaya menarik perhatian Persatuan Pemain Bola Sepak Profesiona­l Malaysia (PFAM) dan asiana.my (asian. my) untuk dikalung dengan anugerah berprestij itu.

Kejayaan itu lebih manis lagi kerana Rendy merupakan satu-satunya pemain tempatan yang dicalonkan untuk anugerah itu bersaing dengan empat pemain import antarabang­sa iaitu Gilberto Fortunato dari Felda United, Anselmo Arruda Da Silva (Felcra FC), Lucas Pugh (UiTM FC) dan Zarco Korac (Kuantan FA).

Pemilihan pemenang anugerah pemain terbaik itu ditentukan menerusi undian di laman sesawang rasmi PFAM.

Rendy yang berasal dari Beaufort berjaya memikat hati Jelius untuk diturunkan selaku penjaga gol utama skuad badak musim ini selepas disenarai sebagai pemain gantian pada musim lalu.

Keyakinan yang diletakkan oleh ketua jurulatih Sabah itu ke atas beliau dibuktikan dengan permainan kemas mengharung­i lima perlawanan setakat ini, di mana Rendy hanya berjaya dibolosi empat kali iaitu dua dalam saingan Liga Malaysia dan dua lagi dalam kempen Piala FA.

Kejayaan menyelamat­kan sepakan penalti di minit-minit akhir ketika Sabah mengikat keputusan seri 1-1 menentang Felcra FC di tempat lawan, merupakan keupayaan dan peranan paling besar yang dinilai untuk selayaknya menerima anugerah itu.

Rendy juga memperliha­tkan keyakinan, keazaman dan kekuatan fizikalnya apabila menggagalk­an banyak pencubaan merbahaya lawan terutama sekali ketika berhadapan situasi `satu lawan satu’.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia