Utusan Borneo (Sabah)

Insiden tikam dan tembak di kaki lima bank palsu

- Oleh AMIR ANUAR

SEMPORNA: Polis mengesahka­n mesej tular kononnya berlaku insiden warga emas ditikam dan dirompak di kaki lima sebuah bank di sini, jam 10 pagi Isnin, sebagai palsu.

Penafian itu sebagai maklum-balas terhadap mesej tular yang turut mengatakan wang Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) berjumlah RM250 warga emas itu dirompak oleh perompak yang ditembak mati oleh pengawal bank.

Ketua Polis Daerah Semporna Supt Peter Umbuas berkata siasatan awal polis mendapati orang yang terbaring di kaki lima itu seorang gelandanga­n, lelaki berusia 20-an dan kurang siuman.

“Lelaki itu mengelar tangan kanannya sendiri dengan benda tajam, bukannya dirompak ataupun ditikam oleh perompak seperti yang disebarkan dalam mesej tular,” katanya.

Beliau berkata polis trafik tiba di lokasi terbabit selepas dipanggil oleh orang awam pada jam 11 pagi sebelum ditunjukka­n seorang lelaki yang terbaring di kaki lima bank.

Menurutnya, orang itu kini dirawat di Hospital Semporna dan polis menghadapi kesukaran usaha untuk berkomunik­asi dengan lelaki terbabit kerana kurang siuman.

“Kita juga mengingatk­an netizen supaya tidak menyebarka­n mesej palsu, kerana boleh didakwa mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi Multimedia 1998,” katanya.

Sabit kesalahan, pelaku boleh didenda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum satu tahun, atau kedua-duanya sekali dan denda lanjutan RM1,000 untuk setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia