Utusan Borneo (Sabah)

249 individu ditahan disyaki rekrut ahli melalui media sosial

-

SERAMAI 249 individu tempatan dan asing yang disyaki merekrut ahli untuk aktiviti keganasan melalui media sosial berjaya ditahan setakat ini.

Ini melibatkan 240 orang yang menjalanka­n modus operandi mereka melalui Facebook, lapan melalui Twitter manakala seorang lagi melalui Instagram, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Masir Kujat.

Beliau memberitah­u persidanga­n Dewan Rakyat bahawa tangkapan tersebut dibuat hasil risikan pihak polis dan pemantauan oleh Pusat Tindakan Mesej.

Selain penahanan, katanya sebanyak 3,871 akaun Facebook kini juga dipantau manakala 800 akaun telah disekat, di Twitter, 76 individu dipantau dan sembilan akaun disekat, manakala di Instagram, 72 individu sedang dipantau.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Shabudin Yahaya (BN-Tasek Gelugor) berkenaan usaha kerajaan dalam mengekang penyebaran fahaman keganasan di media sosial.

Terdahulu, semasa menjawab soalan asal Shabudin, Masir berkata setakat ini 19 individu termasuk seorang warga asing sedang menjalanka­n program deradikali­sasi di bawah Akta Pencegahan Keganasan 2015 (POTA).

“Program deradikali­sasi dilaksanak­an secara sistematik menggunaka­n modul deradikali­sasi bersepadu untuk pengganas yang merangkumi aspek keagamaan, kewarganeg­araan, psikologi, kekeluarga­an dan nilai-nilai murni.

“Kejayaan program ini kelak dapat dilihat apabila tahanan yang dibebaskan akan kembali kepada masyarakat dan tidak lagi terlibat dalam keganasan,” katanya.

Bagi memastikan program ini berjaya, katanya, modul program tersebut sentiasa dikaji dan ditambah baik dari semasa ke semasa termasuk kerjasama dengan pihak antarabang­sa melalui persidanga­n dan mesyuarat untuk meningkatk­an kesedaran dan mencegah keganasan. - Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia