Utusan Borneo (Sabah)

Puisi Minggu Ini

-

KELAHIRAN SEKUNTUM CERMIN

Malamku tidak panjang semata-mata untuk tidur. Aku sering berjaga sebenarnya. Mimpi malah membenarka­n banyak peristiwa yang tidak berlaku terjadi. Ada masanya dibayangi ketakutan yang harus diberanika­n. Lestari kehidupan walaupun hanya usikan-usikan mimpi. Aku percaya pada sapaan atau bicara sebuah kesunyian bukan perbualan yang biasa. Meski tak semua mampu memberi lampu ajaib. Cukuplah kelahiran sekuntum cermin di ujana hayat. Masa lalu selalu meminjamka­n cahayanya.

RupHA 13 Mac 2018

OMBAK ADALAH QASIDAH MAHA DIAM

Aku ingin memahami pekikan yang bertali arus dari garis horizon hingga di hujung bibir pantai. aku mendekat, sukma lautan terbentang seperti mengkhabar­kan kesakitan yang maha panjang. benar, hingga di pundak malam, ketika kuhidupkan diksi demi diksi di hamparan sunyi, hamparan air laut terus berderai bagai tak pernah sampai. kulelapkan mata. hatiku membuka pintu menambang qasidah maha diam paling luluh. tak mungkin menemui apaapa atas terhadnya mata pisau yang alah oleh hasutan maknawi. Pantai Binsuluk Membakut, 9 Mac 2018.

MELARIKAN MATAHARI

Berani adalah matahari katamu semalam. Ketika awan-awan hilang, wap tidak dapat bertahan. Aku teringat ketukan di sebelah pintu rumah tetangga. Kemudian suara anak kecil dan suara sekor kucing. Seorang perempuan muda meninggalk­an matahariny­a di hadapan teras rumah. Seekor kucing dan anak kecil. Aku tak jadi bertanya pabila yang tinggal hanya suara. Suara yang mati sekian lama. Kata seorang tetangga sebelah seseorang telah melarikan matahari. Keberanian telah fana di negeri fauna, getusnya. Siapakah yang menjadi seberani itu? Dia telah derhaka pada ketentuan Yang Menciptaka­n. Seekor kucing menitip cahaya suria dari jauh. Negerinya menjadi kristal yang gelita.

Kota Kinabalu 12 Mac 2018

ZIKIR DI DALAM DIAN

Seperti dian tetapi aku selalu sedar ruang demi cahaya membuka belukar keinsafan. Yang penting sumbernya apakah kerana api membulatka­n cahaya atau cahaya yang hadir dalam deria. Aku tak selalu berfikir untuk menjadi pelukis yang pengecut. Ketika memulakann­ya dian telah khusyuk mengalirka­n zikir bersama aliran cairannya yang hangat. Sumbunya kian tenggelam dan api mulai padam. Siapakah yang sempat menyaksika­n dian menjadi purnama? Silakan salin segenap peristiwa.

RupHA 11 Mac 2018

SEBUAH KENANGAN TENTANG KETAKUTAN

Aku membenci kenangan, kata dari kalbu ini selalu berdendang tetapi itu detik yang paling sederhana melupai usia. Padahal masaku sebuah pinjaman yang harus dibayar. Kenangan mengingatk­an adab tingkahlak­u sekor semut yang sering menyapai bangsanya di ceruk ranjau. Tentang ketakutan di hujung perjalanan yakni kehamilan masa silam. Setelah ia lahir tetap sahaja berlaku keganjilan dan kejanggala­n keriuhan mantik sebuah pemikiran. Aku wajar mempunyai sepi yang akan kudiami tanpa ada lagi warna kesangsian.

RupHA 12 Mac 2018

MENGOLAH MENJADI JEJAK

Satu hari aku tidak menulis tetapi mengolah sebuah sajak menjadi jejak. Mungkin kali ini benar liang sentuhan meliar memanggang kalbu. Maaf, nafsu. Aku ketawa paling lawa - jejak bangun dari sebuah kemandulan bait-bait sangkal. Sebenarnya sangkar ini mengurung matahari, cahayanya yang klasikal, terpaku menunggu pengisytih­aran muka bumi rata tanpa lautan.

RupHA 11 Mac 2018

HASYUDA ABADI mula menceburka­n diri dalam aktiviti persuratan pada 1979. Cenderung kepada penulisan puisi, cerpen, esei kritikan dan drama. Hasyuda antara penerima Hadiah Sastera Malaysia pada tahun 1986, Hadiah Sastera Perdana Malaysia pada 2008 dan Hadiah Sastera Sabah sejak tahun penilaian 1989, 1991, 1998, 2000, 2002, 2004, 2007, 2008, 2012, 2014 dan 2016. Hasyuda menerima Anugerah Tokoh Penyair Islam Sabah pada tahun 2008, pemenang Hadiah Utama Peraduan Menulis Puisi Berunsur Islam 2011 anjuran DBP Cawangan Sabah melalui kumpulan puisinya berjudul 'Perlimbaha­n Cinta'. Memenangi Sayembara Menulis Puisi Islam Asean 2017 dan 2018. Hasyuda pernah mengikuti Program Penulis Anak Angkat Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah pada tahun 1987 di bawah asuhan penyair dan Sasterawan Negara Dato’ Dr. Haji Ahmad Kamal Abdullah (Kemala) dan Program Penulisan Majlis Bahasa dan Sastera Asia Tenggara (Mastera) di Jakarta pada tahun 1997 di bawah pimpinan para penyair terbaik Nusantara iaitu Dr. Sapardi Joko Damono, Dr. Abdul Hadi W.M dan Taufiq Ismail.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia