65 gerai sertai Karnival Jualan Sentuhan Rakyat
SANDAKAN: Sebanyak 65 gerai telah menyertai Karnival Jualan Sentuhan Rakyat DUN Tanjung Papat yang dianjurkan oleh pergerakan Wanita Umno Sandakan di Pasar Sim-Sim, di sini pada Sabtu.
Ia merupakan penganjuran kali kedua bagi Parlimen Sandakan. Sebelum ini, karnival sama telah diadakan di kawasan tempat letak kereta bersebelahan Sekolah Menengah Yu Yuan pada bulan lepas.
Berucap merasmikan karnival itu, Setiausaha Bahagian Umno Sandakan Haji Hamdan Haji Dikong berkata inisiatif seumpama itu secara tidak langsung memberi kemudahan kepada rakyat untuk mendapatkan bekalan makanan kering dan basah dengan mudah serta murah berbanding harga runcit.
Beliau berkata, usaha itu amat baik kerana sebagai pergerakan berasaskan politik, Wanita Umno tidak hanya mengutamakan aktiviti politik, sebaliknya turut memberi perhatian kepada kebajikan rakyat.
“Selain dapat membeli pelbagai barang dengan harga yang lebih murah, penduduk setempat juga berpeluang berjumpa dan beramahmesra dengan pemimpin setempat. Sambil membeli-belah, mereka dapat bertukar-tukar pendapat mengenai pelbagai isu bersama para pemimpin,” katanya.
Terdahulu, Ketua Wanita Umno Sandakan Noraini Sulong memberitahu karnival berkenaan akan diadakan secara berperingkat peringkat dengan menyasarkan kawasan perumahan awam.
Di samping aktiviti jualan, beliau berkata turut diselitkan adalah pemberian cermin mata secara percuma di mana setakat ini seramai 350 peserta telah mendapat manfaat.
Antara gerai jualan yang dibuka termasuk gerai menjual beras, minyak masak, tepung, gula, susu, sayur-sayuran, ikan dan ayam, telur, kuih tradisional, buah-buahan dan cermin mata percuma.
Turut dibuka adalah gerai pakaian terpakai, gerai pakaian muslimah, gerai pakaian kanak-kanak serta gerai makanan dan minuman.
Karnival berkenaan turut dimeriahkan dengan cabutan bertuah serta persembahan seni silat.
NOORASVILLA MUHAMMA
-Oleh