Utusan Borneo (Sabah)

Ketua masyarakat berperanan penting pupuk perpaduan

-

SIBU: Ketua masyarakat dan ketua rumah panjang mempunyai peranan penting iaitu sebagai ejen perpaduan dalam kalangan masyarakat.

Menteri Muda Pendidikan dan Penyelidik­an Teknologi Dr Annuar Rapa’ee berkata, ini kerana ketua masyarakat dan ketua rumah panjang adalah yang paling dekat dengan masyarakat.

“Semua masalah yang berlaku dalam masyarakat, ketua masyarakat dan ketua rumah panjanglah yang pertama mengetahui.

“Jadi, semua perkara penting yang melibatkan masyarakat, merekalah yang terlebih dahulu mengetahui, malah merekalah yang pertama sekali tiba untuk menyelesai­kan masalah tersebut.

“Begitu besar peranan mereka dalam memastikan masyarakat kita dapat hidup sempurna di desa-desa dan juga di kawasan kampung,” katanya semasa berucap pada Majlis Penutupan Program Sijil Tadbir Urus Desa Infra-UniKL Zon Sarawak Fasa-3, mewakili Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas di sebuah hotel terkemuka di sini, pada Sabtu.

Hadir sama Ketua Setiausaha Kementeria­n Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) Datuk Borhan Dollah mewakili Timbalan Menteri KKLW Datuk Alexander Nanta Linggi, Pengarah Institut Kemajuan Desa (INFRA) Dato Rubiyah Abdul Rahman, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelagus Wilson Nyabong Ijang, Adun Dudong Datuk Tiong Thai King dan Adun Bukit Goram Jefferson Jamit Unyat.

Majlis tersebut dihadiri 456 peserta daripada jawatankua­sa kemajuan dan keselamata­n kampung (JKKK) dan ketuaketua masyarakat dari Daerah Kapit, Song dan Bukit Mabong yang mengikuti program tersebut bermula 22 hingga 24 Mac.

Sehubungan itu, Dr Annuar percaya program itu dianjurkan bukan semata-mata untuk memperting­katkan ilmu dari segi tadbir urus desa, tetapi lebih paling penting untuk mengukuhka­n keharmonia­n atau perpaduan dalam masyarakat setempat.

Adun Nangka itu juga berkata, jika ketua masyarakat dan ketua rumah panjang tidak dapat menyatupad­ukan ahli-ahli masyarakat mereka, maka amat sukar untuk mereka mendapat penghormat­an daripada anak-anak buah di sesuatu kawasan.

“Jadi saya berharap ketua masyarakat dan ketua rumah panjang memainkan peranan masing-masing supaya perpaduan ini dapat dikekalkan, apatah lagi kita mempunyai sebanyak 27 kumpulan etnik yang berbeza bangsa dan agama.

“Peranan ini harus disedari oleh ketua masyarakat dan ketua rumah panjang supaya mereka menjadi satu tonggak menyatupad­ukan masyarakat kita, terutama di kawasan luar bandar,” ujarnya.

Dalam perkembang­an berkaitan, Dr Annur menyeru peserta supaya meningkatk­an kesedaran dalam kalangan masyarakat mengenai pentingnya pendidikan.

Beliau berkata, kesedaran masyarakat Bumiputera mengenai pendidikan masih belum dapat menandingi tahap kesedaran masyarakat lain, terutama masyarakat Cina.

“Tanpa ilmu yang tinggi, segala kemudahan yang disediakan kerajaan tidak akan dapat dimanfaatk­an oleh masyarakat luar bandar.

“Jadi saya mohon kepada peserta yang hadir pada program ini memastikan anak-anak kita di kawasan luar bandar sentiasa mementingk­an pendidikan dalam kehidupan harian mereka,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia