Utusan Borneo (Sabah)

Nilai eksport sarung tangan getah dijangka meningkat kepada RM20b

-

TELUK INTAN: Nilai eksport sarung tangan getah negara dijangka meningkat kepada RM20 bilion menjelang 2020, berikutan peningkata­n positif yang dicatatkan setiap tahun, kata Menteri Perusahaan, Perladanga­n dan Komoditi Datuk Seri Mah Siew Keong.

Beliau berkata Malaysia yang merupakan pembekal sarung tangan getah terbesar dunia menerima permintaan tinggi daripada sektor industri kesihatan.

“Pada 2013, nilai eksport sarung tangan getah sejumlah RM10 bilion, pada 2016 pula sebanyak RM13 bilion dan nilai itu terus meningkat kepada RM16 bilion pada tahun lepas.

“Kita yakin nilai eksport ini akan terus meningkat mengikut kaji selidik (oleh Lembaga Getah Malaysia),” katanya kepada pemberita selepas melawat Hospital Teluk Intan, di sini, kelmarin.

Mah berkata antara negara yang mengimport sarung tangan getah dari Malaysia ialah China, Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah dan India.

Mengulas lanjut, beliau berkata, China berpotensi besar untuk menjadi pasaran utama kerana penggunaan sarung tangan getah per kapita setahun di negara itu hanya tiga pasang berbanding 75 pasang di Amerika Syarikat, 50 pasang di Eropah dan 10 pasang di Malaysia.

Mah berkata menerusi teknologi terkini yang digunakan dalam industri pembuatan sarung tangan getah negara, beliau yakin Malaysia berkemampu­an menarik lebih banyak negara untuk menggunaka­n produk tersebut.

“Malaysia merupakan negara pengeluar yang kompetitif kerana kita hanya menghasilk­an sarung tangan getah yang berkualiti berbanding negara lain,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia