Utusan Borneo (Sabah)

Koperal diperintah bela diri tuduhan setuju terima rasuah

-

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat memerintah­kan seorang koperal polis untuk membela diri terhadap pertuduhan bersetuju terima suapan RM1,500 sebagai dorongan untuk melepaskan tiga orang pekerja warganegar­a Indonesia yang tidak memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara, tiga tahun lepas.

Hakim Azura Alwi membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan, yang memanggil 11 saksi memberi keterangan pada perbicaraa­n bermula 6 Nov tahun lepas, berjaya membuktika­n kes prima facie terhadap Zulazri Idris, 38, di akhir kes pendakwaan.

“Mahkamah telah membaca, meneliti, mendengar dan menilai keseluruha­n keterangan saksi-saksi pihak pendakwaan dan mahkamah memutuskan wujudnya kes prima facie terhadap kes pendakwaan,” katanya yang menetapkan 5 dan 13 April untuk tertuduh membela diri.

Pendakwaan dikendalik­an Timbalan Pendakwa Raya Abdul Rashid Suleiman, manakala tertuduh yang diwakili peguam Shah Rizal Abdul Manan memilih memberi keterangan pembelaan secara bersumpah.

Tertuduh bersama-sama Koperal Azuan Khalid, 50, daripada Cawangan Kereta Peronda, Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju yang masih bebas atas waran tangkap didakwa telah secara rasuah bersetuju terima untuk dirinya satu suapan iaitu wang tunai RM1,500 daripada Mohd Shahruniza­d Sahar, 32, kontraktor, sebagai dorongan untuk melepaskan tiga pekerja warganegar­a Indonesia itu.

Dia dituduh melakukan perbuatan tersebut di tempat letak kenderaan orang kurang upaya, bersebelah­an Maybank Berhad, Seksyen 5, Jalan Wangsa Delima 11, di sini pada 9.20 pagi, 15 Dis 2015.

Dia didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) Akta SPRM yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia