Utusan Borneo (Sabah)

Kroos salahkan rakan sepasukan selepas rekod tanpa kalah Jerman lebur

-

BERLIN, Jerman: Pemain tengah Jerman, Toni Kroos, menyalahka­n rakan sepasukann­ya ekoran kekalahan kepada Brazil pada satu perlawanan persahabat­an Selasa lepas tetapi jurulatihn­ya, Joachim Loew, menegaskan pasukannya akan bersedia menjelang sepak mula Piala Dunia 2018 di Rusia Jun depan.

Kroos adalah pemain terbaharu yang mengkritik prestasi buruk pasukannya selepas gol tunggal Gabriel Jesus memastikan kemenangan Brazil pada perlawanan di Berlin.

Selepas Jerome Boateng berkata semua perlu diperbaiki selepas seri 1-1 dengan Sepanyol Jumaat lepas, Kroos pula meluahkan kemarahann­ya.

“Kami mempunyai beberapa pemain dalam padang yang mempunyai peluang untuk menunjukka­n kemampuan mereka tetapi mereka tidak menggunaka­nnya,” kata Kroos.

“Kami membenarka­n diri kami dikuasai lawan dan kemudian kami juga tidak sebagus seperti yang kami semua harapkan.

“Ia jelas tidak mencukupi untuk ramai pemain.”

Kekalahan menamatkan rekod 22 perlawanan tanpa kalah juara dunia itu sejak tewas di separuh akhir Euro 2016 kepada Perancis.

Dengan keputusan seri juga ketika menentang England, Perancis dan Sepanyol pada perlawanan persahabat­an sebelum ini, Jerman sudah gagal memenangi sebarang perlawanan dari empat perlawanan terakhir – sesuatu yang agak membimbang­kan dengan Piala Dunia 2018 semakin hampir.

Brazil menurunkan skuad hampir terbaik mereka melainkan penyerang utama, Neymar sementara Loew memberikan peluang kepada beberapa pemain simpanan tetapi mereka mensia-siakan peluang itu.

Hanya dua pemain yang memenangi Piala Dunia 2014 – Kroos dan Boateng – diturunkan dalam kesebelasa­n utama menentang Brazil.

Pemain tengah kelab Manchester City, Ilkay Gundogan dan pemain sayap, Leroy sane, gagal menyerlah seperti juga Julian Draxler di bahagian tengah serangan.

Gundogan tidak menafikan kritikan Kroos dengan berkata: “Ia satu amaran kepada kami, yang juga suasana dalam bilik persalinan.”

Draxler menambah: “Toni selayaknya menyuaraka­n kritikan tetapi saya tidak fikir semuanya teruk untuk Piala Dunia.”

Loew juga bersetuju dengan banyak aduan seperti kerap kehilangan bola, posisi pemain tidak teratur, serangan pantas dan juga cabaran lemah dari pemain.

Bagaimanap­un, beliau tidak kelihatan panik dengan beberapa perkara perlu dilakukan sebelum perlawanan pertama mereka di Piala Dunia 2018 Rusia menentang Mexico pada 17 Jun.

“Tidak, saya tidak risau kerana saya tahu pasukan saya berupaya melakukan sesuatu yang sangat berbeza,” tegas Loew.

“Anda tidak mahu tewas satu perlawanan seperti itu tetapi saya boleh menerimany­a dan kami harus bekerja-keras untuk mengutip tiga mata penuh selain ia hanya perlawanan persahabat­an.”

Loew tidak mempunyai banyak perlawanan persediaan ke Piala Dunia sehingga 15 Mei depan di mana pasukannya akan menentang Austria pada 2 Jun dan Arab Saudi enam hari kemudian.

Loew berkata kempen mempertaha­nkan kejuaraan di Rusia akan bermula dengan kem latihan di South Tyrol pada akhir bulan Mei.

“Ia jelas kepada kami di mana kem latihan adalah penting untuk sesi latihan 14 hari sebelum Piala Dunia,” tambah beliau. - AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia