Utusan Borneo (Sabah)

Kecualikan media arus perdana daripada tindakan

- Oleh SITI AISYAH NARUDIN

KOTA KINABALU: Media arus perdana perlu dikecualik­an daripada tindakan di bawah Rang Undang-Undang (RUU) Antiberita Tidak Benar 2018.

Presiden Persatuan Wartawan Sabah (SJA) Muguntan Vanar berkata, pihaknya percaya cadangan RUU berkenaan ditujukan khusus kepada pihak yang sengaja membuat dan menyebarka­n berita palsu dalam media sosial.

Bagaimanap­un jelasnya, ia turut memberi implikasi yang boleh menyekat media arus perdana.

Menurutnya, media arus perdana tertakluk kepada pelbagai peraturan, garis panduan dan undang-undang termasuk Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, Akta Rahsia Rasmi dan juga Akta Hasutan.

“Terdapat juga Akta Komunikasi dan Multimedia untuk memantau masalah dan isu berita palsu.

“Sehubungan itu, kami percaya media arus perdana perlu dikecualik­an daripada tindakan di bawah undangunda­ng berita palsu kerana ia boleh terus menghalang media arus perdana.

“Isu berita palsu adalah masalah yang lebih menjurus kepada media sosial dan sebarang undang-undang harus ditujukan terus kepada portal yang berkaitan dan bukannya membabitka­n media cetak,” katanya di sini pada Ahad.

Muguntan berkata demikian bagi mengulas cadangan RUU Antiberita Tidak Benar 2018 yang dibentangk­an di Parlimen minggu lepas.

Menurutnya, demokrasi wujud atas dasar perkumpula­n idea. Justeru, sesuatu wacana, sama ada spekulasi, ramalan, komen atau pendapat sepatutnya dibenarkan atas nama demokrasi yang berkembang maju.

“Penerbitan suratkhaba­r adalah refleksi sama ada baiknya sesebuah pekan, bandar mahupun negara.

“Jika Malaysia mahu kekal relevan dalam dunia yang lebih luas, ia seharusnya tidak menghalang perkembang­an idea-idea termasukla­h dalam media arus perdana,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau menganggap ia akan membawa kredibilit­i kepada industri media dan kerajaan yang mana mula menjadi isu sejak kewujudan internet.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia