Utusan Borneo (Sabah)

Salah guna dadah cabaran paling besar belia TN50

-

TAWAU: Penyalahgu­naan dadah dalam kalangan generasi muda merupakan cabaran yang paling besar masa kini dalam usaha negara ke arah Transforma­si Nasional 2050 (TN50).

Pembantu Menteri Pembanguna­n Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat Datuk Hamisa Samat berkata ramai golongan generasi muda, belia dan pelajar menggunaka­n jalan mudah untuk menghilang tekanan dengan mengambil dadah seperti syabu, pil khayal, ganja dan sebagainya untuk menenangka­n jiwa kerana tekanan hidup atau keadaan di sekeliling mereka.

Beliau berkata lebih ditakuti ialah gejala itu mungkin dibawa masuk dengan agenda tersembuny­i untuk menghancur­kan negara.

Masalah sosial boleh diibaratka­n sebagai bom jangka yang mana sekiranya langkah pencegahan dan pemulihan tidak dilakukan lebih awal, negara terpaksa menanggung segala kos akibat keruntuhan serius moral serta akhlak masyarakat.

“Sasaran utama untuk menghancur­kan negara kita adalah golongan muda dan belia terpelajar yang merupakan aset penting kepada negara kita.

“Sebab itu, kita amat bimbang dengan gejala penyalahgu­naan dadah yang semakin berleluasa pada masa kini terutama di kampus-kampus yang melibatkan anak-anak terpelajar kita. Jika gejala ini tidak dibanteras, ia akan menghancur­kan masa depan anak-anak kita dan masa depan negara kita sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program SMART (Sukses, Matang, Aktif, Rasional dan Tanggungja­wab) anjuran AADK Tawau dengan kerjasama Pusat e-Desa Tanjung Batu, di sini.

Hamisa yang juga Adun Tanjong Batu berkata, gejala penyalahgu­naan dadah berlaku di seluruh negara, termasukla­h di Sabah dan daerah ini.

“Satu lagi perkara yang membimbang­kan kita kurangnya keyakinan diri dalam kalangan anak muda kita disebabkan tidak fasih atau kurang fasih berbahasa Inggeris dan sebagainya.

“Perkara ini adalah tidak baik untuk negara kita jika mahu mencapai TN50 dan ia perlu diperbaiki bermula dari peringkat sekolah lagi. Ada golongan belia kita yang dijanjikan wang lumayan membawa barang terlarang ke sesebuah tempat menyebabka­n ramai dijadikan keldai dadah.

“Sebab itu, saya amat menyambut baik program yang dilaksanak­an oleh AADK Tawau ini untuk membina keyakinan dalam diri pelajar dan belia. Program SMART ini perlu diperluask­an di seluruh Sabah dan setiap sekolah perlu menyertain­ya,” katanya.

Menurut beliau, terdapat banyak statistik menunjukka­n gejala dadah, jenayah juvana, ponteng sekolah, buli, anak luar nikah, penceraian dan sebagainya. Perlu ada langkah untuk melihat apakah punca masalah sosial itu serta penyelesai­annya.

Hamisa turut melahirkan kebimbanga­nnya di mana masalah itu semakin susah dibendung kerana teknologi di hujung jari. Dahulu memang wujud gejala sosial, tetapi hari ini, gangguan dan juga tekanan serta mungkin umpanan yang datang daripada mereka yang terlibat dalam media sosial terhadap belia lain, sangat bahaya.

“Ia boleh sampai terus kepada telefon mereka. Penjualan dadah melalui WhatsApp atau WeChat adalah bahaya sebab yang menjadi sasaran adalah pelajar sekolah dan remaja.

“Saya difahamkan, barubaru ini akhbar tempatan menyiarkan berita bahawa di peringkat sekolah rendah sudah mula jual gula-gula yang ada sedikit bahan dadah supaya ketagih. Ini melibatkan remaja dan kanak-kanak yang seusia dengan anak saya sendiri.

“Kalau kita tidak serius dalam perkara ini, sampai TN50 mungkin kita ada sebahagian yang berjaya tetapi sebahagian lagi jauh ketinggala­n. Kalau tidak ditangani isu ini, anak-anak Melayu dan bumiputera yang paling ke depan dari segi gejala sosial,” katanya.

Hamisa berkata golongan belia yang mengikuti kursus itu adalah sasaran utama AADK untuk menyalurka­n maklumat tentang bahayanya najis dadah dalam kehidupan keluarga dan masa depan anak anak mereka kerna dadah adalah musuh nombor satu negara.

“Saya berharap ibu bapa juga berperanan penting serta bertangung­jawab dalam rumah tangga untuk memastikan anak-anak mereka bebas dadah,” katanya.

Katanya penganjura­n program yang menjurus kepada kebaikan dan tuntutan agama bukan sahaja membentuk moral yang baik bagi anak-anak, malah mampu mempengaru­hi organisasi dan cinta kepada keluarga demi kebaikan bersama.

Program itu dianjurkan oleh AADK Tawau kepada para belia lepasan sekolah bagi memberi pengetahua­n dan maklumat terkini tentang bahaya penyalahgu­naan dadah, memberikan cara hidup yang berguna untuk masa depan, memupuk sikap dan amalan yang baik serta mengamalka­n gaya hidup sihat, meningkatk­an rasa tanggungja­wab terhadap peranan belia dan remaja dalam usaha membantera­s penyalagun­aan dadah.

Seramai 60 orang sebahagian besarnya terdiri daripada para belia dan lepasan pelajar sekolah mengikuti program itu.

Turut hadir, PPM Tanjong Batu Jummain Sawal, Pengerusi e-Desa Tanjong Batu Darat Ismail Awang, Pegawai AADK Abdul Ghani Keraput, para pelajar dan belia beliawanis.

 ??  ?? HAMISA merakamkan gambar kenangan bersama peserta SMART anjuran AADK Tawau dengan kerjasama Pusat e-Desa Tanjung Batu.
HAMISA merakamkan gambar kenangan bersama peserta SMART anjuran AADK Tawau dengan kerjasama Pusat e-Desa Tanjung Batu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia