Utusan Borneo (Sabah)

TVET bukan lagi pilihan kedua: Awang Adek

-

KOTA BHARU: Bidang Latihan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) bukan lagi pilihan terakhir kerana ia semakin mendapat pengiktira­fan masyarakat dunia, kata Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) Datuk Dr Awang Adek Hussin.

Beliau berkata pelajar perlu mengubah persepsi bahawa TVET adalah pilihan kedua selepas tidak berjaya menyambung pengajian dalam bidang akademik dan dianggap kelas rendah.

“Sekarang bidang ini telah menjadi bidang yang sama penting dengan bidang akademik lain dalam agenda pembanguna­n negara bagi mengejar fasa revolusi industri 4.0, malah TVET dapat menggerakk­an ekonomi negara di samping mewujudkan peluang pekerjaan dengan pendapatan yang tinggi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Graduasi Giatmara 2018 Negeri Kelantan di sini, Ahad.

Awang Adek berkata Mara kini lebih menfokuska­n TVET untuk melahirkan modal insan yang berkemahir­an dan menyokong saranan kerajaan ke arah negara yang berpendapa­tan tinggi.

Dalam pada itu, beliau berkata pada tahun ini, Mara mendapat peruntukan sebanyak RM2.5 bilion daripada kerajaan antaranya untuk program penajaan penganjura­n pendidikan di dalam dan luar negara pelajar Bumiputera.

“Komitmen dan keyakinan kerajaan terhadap Mara sangat tinggi, malah kerajaan juga sentiasa menyokong penuh segala usaha yang dilakukan Mara untuk membantu golongan Bumiputera,” katanya.

Awang Adek yang juga Ketua Umno Bahagian Bachok berharap kerajaan Barisan Nasional akan terus kekal agar masa depan Mara terjamin.

“Ada parti politik yang tidak mesra dalam kebajikan Bumiputera, jadi saya risau adakah kerajaan lain (jika ada) sanggup memberi peruntukan besar kepada Mara untuk kebajikan dan kesejahter­aan hidup golongan Bumiputera,” katanya.

Setakat ini, terdapat seramai 114,000 pelajar di bawah institusi pendidikan Mara seperti Universiti Kuala Lumpur (UNIKL), Kolej Profesiona­l Mara (KPM), Kolej Poly Tech MARA (KPTM) dan Giatmara.- Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia