Utusan Borneo (Sabah)

Ringgit dijangka terus mengukuh

-

KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka meneruskan aliran pengukuhan­nya berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada minggu ini berikutan kelemahan dolar yang ketara akibat pemulihan harga minyak mentah selain aliran masuk dana asing yang stabil.

Seorang peniaga berkata faktor-faktor tersebut berkemungk­inan memacu pergerakan ringgit ke arah paras RM3.80 berbanding dolar AS minggu ini.

“Kami menjangkak­an dolar AS akan terus kekal lemah pada minggu depan (minggu ini) berikutan cuti Easter pada hujung minggu yang panjang dan ini akan memacu prestasi ringgit,” katanya kepada Bernama.

Menurutnya, pemulihan harga minyak mentah yang mencecah paras AS$70 setong pada minggu sebelumnya selain aliran masuk dana asing yang kukuh sebanyak RM447.1 juta ke dalam pasaran ekuiti Malaysia pada minggu sebelumnya, juga dilihat akan terus menyokong ringgit.

Sementara itu, Ketua Perdaganga­n Asia Pasifik OANDA Stephen Innes berkata pulangan hasil bon 10 tahun Perbendaha­raan AS yang lebih rendah, akan memberi tekanan berterusan terhadap dolar AS minggu depan (minggu ini), sekali gus mendorong pelabur untuk beralih kepada Sekuriti Kerajaan Malaysia dalam denominasi ringgit.

“Oleh itu, saya menjangkak­an ringgit akan menguji paras 3.85 minggu depan (minggu ini) atau sekitar 3.84-3.88 dalam senario ini,” katanya.

Bagi minggu yang baharu berakhir, ringgit diniagakan antara 3.8590 dan 3.9120, sebahagian besarnya dipengaruh­i oleh kebimbanga­n terhadap perang perdaganga­n AS-China, hasil bon Perbendaha­raan AS yang lemah serta harga minyak mentah yang kukuh.

Bagi asas Jumaat hingga Jumaat, ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS pada 3.8620/8650 daripada paras 3.9150/9200.

Ringgit juga didagangka­n tinggi berbanding kelompok mata wang utama.

Ia mengukuh berbanding yen pada 3.6369/6404 daripada 3.7318/7383 pada Jumaat lepas dan meningkat berbanding euro kepada 4.7603/7659 daripada 4.8245/8318, sebelum ini.

Ringgit turut mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.4246 / 4307 daripada 5.5170/5248 dan tinggi berbanding dolar Singapura kepada 2.9476/9511 berbanding 2.9756/9799. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia