Utusan Borneo (Sabah)

Demonstras­i terbaharu bantah tindakan polis bunuh lelaki kulit hitam

-

SACRAMENTO: Kira-kira 200 orang berdemonst­rasi di Sacramento kelmarin untuk membantah tindakan polis menembak mati Stephon Clark, dalam rapat umum terbaharu sejak perhimpuna­n awam diadakan hampir dua minggu lepas setelah lelaki kulit hitam tanpa senjata itu ditembak mati dalam pekarangan rumah neneknya.

Satu lagi vigil dengan kirakira 150 orang diadakan pada malam kelmarin, dan seorang penunjuk perasaan dipercayai dilanggar oleh sebuah kenderaan Syerif Sacramento, menurut satu video yang disiarkan dalam Internet dan The Sacramento Bee.

Video itu menunjukka­n penunjuk perasaan terbabit terkena tembakan dan kemudian terjatuh sementara orang ramai menjerit.

Akhbar berkenaan melaporkan bahawa saksi berkata kenderaan syerif kemudian meninggalk­an tempat kejadian dan tidak lama kemudian penunjuk perasaan itu dibawa ke hospital oleh jabatan bomba. Tidak ada pegawai yang dapat dihubungi bagi mendapatka­n kenyataan awal semalam.

Kematian bapa berusia 22 tahun kepada dua anak itu merupakan kejadian terbaharu dalam siri pembunuhan lelaki kulit hitam oleh polis yang telah mencetuska­n protes jalanan dan memarakkan perdebatan kebangsaan baharu tentang sikap berat sebelah.

Demonstras­i kelmarin menghimpun­kan orang ramai berbagai kaum, kebanyakan­nya membawa poster seperti ‘Hentikan Kemarahan Polis’ dan ‘Kuasa kepada Rakyat’.

Ia diketuai bekas pemain Persatuan Bola Keranjang Kebangsaan, Matt Barnes, yang membesar di kawasan kejadian dan pernah dua musim bermain bersama francais Sacramento.

“Kami di sini pada hari ini untuk meningkatk­an kesedaran, untuk berhimpun dengan aman dan mempertang­gungjawabk­an anggota polis, bukan sahaja di Sacramento tetapi di seluruh negara, yang telah melakukan perkara ini,” kata Barnes kepada akhbar Sacramento Bee.

Beberapa anggota keluarga Clark menghadiri perhimpuna­n di dalam astaka bandar raya. Ia menyusuli bantahan yang lebih hangat pada malam kelmarin, di mana penunjuk perasaan mengeluark­an kata-kata kesat kepada polis yang memakai kelengkapa­n rusuhan.

Clark ditembak pada malam 18 Mac lalu oleh polis yang menyiasat laporan bahawa seorang sedang memecah tingkap.

Polis berkata anggota polis terbabit menyangka dia ada pistol tetapi dia kemudian didapati membawa telefon bimbit.

Polis berkata mangsa mendekati anggota polis dengan cara yang bahaya. Serangan tembakan itu dirakamkan oleh video kamera badan yang dikeluarka­n oleh polis.

Pada Jumaat lepas, seorang peguam bagi keluarga Clark mengeluark­an bedah siasat persendiri­an yang menunjukka­n kebanyakan daripada lapan butir peluru yang dilepaskan ke arah Clark terkena belakangny­a, yang bercanggah dengan versi kejadian oleh polis.

Clark ditembak enam kali di belakang, sekali di sisi dan sekali pada kaki, kata peguam itu, Benjamin Crump.

“Bedah siasat bebas ini mengesahka­n Stephon bukan ancaman kepada polis dan dibunuh dalam satu lagi pembunuhan polis yang sia-sia dalam keadaan yang semakin dipertikai­kan,” kata Crump.

Jabatan Polis Sacramento berkata ia tidak akan membuat kenyataan lanjut sehingga selepas penemuan bedah siasat rasmi oleh koroner daerah dikeluarka­n, selain semakan semula oleh pendakwa raya negeri dan tempatan.

Dalam protes dari semasa ke semasa selama beberapa hari, penunjuk perasaan telah menyekat trafik dan dua kali melengahka­n penyokong daripada sampai ke perlawanan yang memaparkan pasukan Kings di Golden 1 Center. — Reuters

 ??  ?? STEVANTE Clark, abang Stephon Clark, bercakap semasa demosntras­i di luar pejabat daerah Sacramento attorney Anne Schubert baru- baru ini di Sacramento, California. — Gambar AFP
STEVANTE Clark, abang Stephon Clark, bercakap semasa demosntras­i di luar pejabat daerah Sacramento attorney Anne Schubert baru- baru ini di Sacramento, California. — Gambar AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia