Utusan Borneo (Sabah)

Lima komander polis ditangkap susulan kebakaran korbankan 68 orang di penjara

-

CARACAS: Pihak berkuasa Venezuela telah menangkap lima komander polis yang disyaki memikul tanggungja­wab bagi kebakaran di sebuah penjara ibu pejabat polis negeri yang mengorbank­an 68 orang, kata ketua pendakwa raya negara, Tarek William Saab, kelmarin.

Kebakaran itu, yang berlaku Rabu lepas di balai polis utama di Valencia, bandar raya ketiga terbesar di Venezuela, mencetuska­n kemarahan kebangsaan dan kecaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Sebuah kumpulan hak penjara, Una Ventana a la Libertad (Jendela kepada Kebebasan), berkata tahanan membakar tilam dalam usaha untuk meloloskan diri, tetapi api dan asap memenuhi sel dengan cepat.

Pihak berkuasa berkata 66 banduan dan dua pelawat wanita terkorban.

Saab berkata dalam Twitter bahawa lima komander yang ditangkap “disyaki bertanggun­gjawab bagi kejadian tragis yang menyebabka­n kematian 68 warga dalam sel ibu pejabat polis negeri: mereka sudah ditangkap”.

Salah seorang daripada mereka yang ditahan reman adalah timbalan pengarah ibu pejabat polis.

Saab menjanjika­n siasatan lengkap ke atas kebakaran itu “dan hukuman bagi semua mereka yang bertanggun­gjawab tanpa mengira keistimewa­an”.

Kebakaran itu merupakan antara bencana terburuk pernah berlaku kepada kemudahan tahanan yang begitu sesak di Venezuela.

Sekurang-kurangnya 388 orang sudah mati dalam penjara di negara itu sejak 2011, menurut data rasmi dan kumpulan hak asasi manusia.

Kerajaan Venezuela berkata Jumaat lepas bahawa ia akan membayar ganti rugi kepada keluarga mangsa yang terkorban, tanpa menyebut sebarang jumlah.

Ia turut menyelar pejabat hak asasi manusia PBB di Switzerlan­d, yang ia tuduh menunjukka­n kelakuan “prejudis” kerana mengeluark­an kenyataan bahawa ia “terkejut mengenai kematian dahsyat” dan menuntut siasatan lengkap.

Venezuela mengalami hiper-inflasi, kekurangan ubatubatan dan makanan asas, dan dijangka tidak akan dapat membayar hutang, walaupun ia terletak di atas rizab minyak terbukti yang terbesar di dunia. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia