Utusan Borneo (Sabah)

Peguam terkemuka Bangladesh hilang setelah kendali kes babit militan

-

DHAKA: Seorang peguam terkemuka di Bangladesh yang membela kes kerajaan dalam perbicaraa­n pembunuhan berprofil tinggi menentang pelampau Islam telah hilang, kata polis semalam, dengan kebimbanga­n yang serius mengenai keselamata­nnya.

Ratish Chandra Bhowmik, seorang pendakwa raya yang disegani dan pejuang hak minoriti, tidak kelihatan sejak beliau meninggalk­an rumahnya di Rangpur pada awal pagi Jumaat lepas.

Kehilangan­nya berlaku dua minggu selepas tujuh anggota militan dari kumpulan Jamayetul Mujahideen Bangladesh (JMB) dijatuhi hukuman mati kerana membunuh penjaga sebuah makam Sufi pada November 2015.

Bhowmik mengetuai kes yang menyaksika­n hampir 12 anggota kumpulan pelampau tempatan didapati bersalah atas tuduhan membunuh penjaga berkenaan kerana mereka menganggap mangsa sebagai pengikut ajaran sesat.

Peguam di bandar utara Bangladesh itu telah melancarka­n protes untuk menuntut maklumat mengenai rakan mereka.

“Kami mengambil berat dan bimbang,” kata Abdul Malek, seorang peguam yang mewakili kerajaan bersama Bhowmik dalam perbicaraa­n menentang puak militan.

Bhowmik, yang beragama Hindu dan aktivis kebudayaan terkemuka, turut mengetuai pendakwaan kerajaan ke atas lima pelampau JMB yang dihukum mati kerana membunuh petani Jepun berusia 66 tahun, Hoshi Kunio, pada 2015.

Ketua polis wilayah Rangpur, Khandaker Golam Faruque, memberitah­u AFP bahawa Bhowmik menolak tawaran bagi pengiring bersenjata sewaktu perbicaraa­n berprofil tinggi itu.

“Tiada ancaman terhadapny­a. Keluargany­a memfailkan laporan mengenai kehilangan­nya pada Jumaat malam,” kata Faruque.

JMB bangun semula selepas hukuman mati dilaksanak­an ke atas pengasasny­a dan kepimpinan tertinggi pada 2007 dan dipersalah­kan bagi siri serangan ke atas masyarakat agama minoriti, penulis blog ateis dan orang asing sejak beberapa tahun lalu.

Pada Julai 2016, suspek yang disyaki militan JMB menyerbu sebuah kafe di Dhaka dan membunuh 22 tebusan, termasuk 18 orang asing, dalam serangan yang diakui dilakukan oleh kumpulan Negara Islam (IS).

Bangladesh telah melancarka­n kempen ke atas JMB dan kumpulan militan tempatan lain ekoran serangan berkenaan.

Pasukan keselamata­n sudah menembak mati lebih 70 orang yang didakwa anggota militan dalam operasi sejak serangan ke atas kafe berkenaan.

Ratusan suspek Islamis turut ditangkap manakala puluhan telah dihukum mati. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia