Utusan Borneo (Sabah)

Sukan Industri N.Sembilan pupuk semangat perpaduan pekerja

-

SEREMBAN: Sukan Industri Negeri Sembilan dilihat mampu memupuk semangat perpaduan dalam kalangan pekerja industri pelbagai kaum khususnya di negeri ini, kata Pengerusi Jawatankua­sa Bertindak Modal Insan, Belia dan Sukan negeri Datuk Zaifulbahr­i Idris.

Beliau berkata sukan seperti ini banyak menyumbang kepada usaha memupuk semangat kerja berpasukan, toleransi dan muhibah dalam kalangan pekerja industri.

“Satu langkah yang baik untuk memupuk semangat yang murni dalam kalangan para pekerja khususnya pekerja industri sebab tidak kira kerjaya, mereka adalah sebahagian daripada komuniti tambahan pula dari segi sektor industri, mereka ini golongan yang besar.

“Secara tidak langsung aspek sukan seperti ini akan membantu segala bentuk yang baik seperti perpaduan, nilai persefaham­an dan juga menaikkan prestasi pekerja itu sendiri,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sukan Industri Negeri Sembilan di sini, pada Ahad.

Turut hadir Pengarah Majlis Sukan negeri Fouzee Aziz dan Pengerusi Majlis Perhubunga­n Industri Negeri Sembilan (NSILC) Paul Valluvan.

Zaifulbahr­i berkata sukan antara industri ini juga merupakan antara langkah terbaik bagi mengintai bakat dalam kalangan pekerja industri yang berpotensi untuk diketengah­kan.

Sementara itu, Valluvan berkata kejohanan sukan industri yang bermula bulan ini dan berakhir hujung tahun ini melibatkan 1,500 peserta yang akan menyertai lima acara sukan iaitu futsal, bola jaring, badminton, golf dan sepak takraw yang diadakan secara berperingk­at. -Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia