Utusan Borneo (Sabah)

Seaweed Splash beri manfaat berganda pada peniaga kecil

-

PENJUAL aiskrim berbasikal, Yusof Sugianto antara peniaga yang mendapat manfaat hasil penganjura­n Gelombang Nelayan Nasional (GNN) 2018: Seaweed Splash di Semporna sejak tiga hari lalu dan berakhir pada Ahad.

Yusof, 21, dari Kampung Cina ketika ditemui Bernama berkata pendapatan­nya bertambah sekali ganda kepada RM170 jika ada sambutan festival atau acara besar diadakan di sekitar pekan Semporna.

“Saya berniaga aiskrim sejak tiga tahun lalu dan hari biasa saya menjual aiskrim dari pukul 8.30 pagi sehingga 2 petang di sekitar sekolah serta pekan Semporna dan untung dalam RM70 ke RM100 tetapi jika ada acara besar seperti Seaweed Splash ini saya boleh untung berganda,” katanya.

Beliau menjual sebatang aiskrim kon pelbagai perisa pada harga RM1 manakala RM1.50 untuk askrim roti.

Peniaga belon, Mohd Khairil Azman Syah pula berkata acara besar yang sering dianjurkan agensi kerajaan di satu-satu kawasan membawa punca rezeki lebih besar kepadanya.

Menurut Mohd Khairil yang berasal dari Telupid, Sandakan, penjualan belon yang diusahakan mampu mencecah RM700 sehari berbanding pada hari biasa RM200.

“Satu belon saya jual bernilai RM5 ke RM8 bergantung kepada bentuk dan saiz belon,” katanya yang menjual belon sejak dua tahun lalu dan antara belon dijual ialah belon watak kartun animasi Upin Ipin dan Boboboi.

Di samping itu, seorang peniaga popia berasaskan rumpai laut, Faiz Fazanatul Rosideh, 25, berkata program seperti Seaweed Splash itu menjadi platform untuk mempromosi­kan produk popia rumpai laut berperisa cheese, pedas dan biasa dengan harga RM5 hingga RM10.

“Dalam acara besar ini selalu saya gunakan ‘taktik gerila’ iaitu berjalan sambil berjual dengan mendekati pelanggan,” katanya.

Popianya turut dipasarkan sehingga ke Singapura dan kini dalam proses promosi di Padang, Indonesia, selain promosi dalam talian di agrobazar online.

Faiz berkata, program Seaweed Splash adalah platform terbaik yang memberi manfaat kepada golongan sasar seperti komuniti nelayan dan pengusaha bertaraf domestik dan antarabang­sa.

GNN 2018: Seaweed Splash dirasmikan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek semalam yang turut dihadir kira-kira 5,000 anggota komuniti nelayan Semporna.

Program tiga hari itu sejak Jumaat lepas dimeriahka­n dengan pelbagai acara menarik antaranya seaweed explorace, ratu seaweed, seaweed buskers, jualan My Best Buy, selain pameran agensi kerajaan termasuk aset Kawasan Keselamata­n Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) serta penglibata­n Pusat Transforma­si Komuniti Bergerak (Mobile CTC).

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pendaftara­n Sabah Datuk Ismail Ahmad berkata penglibata­n Mobile CTC JPN sepanjang tiga hari program Seaweed Splash itu, berjaya mendekatka­n JPN dengan penduduk Semporna.

“JPN merekodkan kedatangan 126 orang membabitka­n urusan 10 gantian MyKad, lima serahan MyKad, seorang permohonan MyKad (bagi 12 tahun) dan bakinya adalah pertanyaan dan khidmat nasihat,” katanya.

Mobile CTC merupakan salah satu inisiatif kerajaan bagi menyatukan perkhidmat­an pelbagai agensi dalam program bersepadu selaras dengan hasrat Kerajaan untuk merakyatka­n perkhidmat­an awam. -Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia