Utusan Borneo (Sabah)

PRU14: Shahrizat masih berteka-teki

-

BENTONG: Ketua Pergerakan Wanita Umno Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil yang dikatakan akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) masih berteka-teki mengenai kawasan bakal ditandingi­nya nanti.

Shahrizat yang juga Ketua Wanita Barisan Nasional berkata beliau menyerahka­n perkara itu kepada pucuk pimpinan parti untuk memutuskan­nya.

“Untuk keputusan sama ada akan bertanding atau tidak sebenarnya saya selalu berjumpa dengan pemimpin atasan dan kita berbincang tentang perkara ini termasuk dengan yang lain.

“Akhirnya Presiden Umno (Datuk Seri Najib Tun Razak) lepaskan kepada saya untuk buat keputusan… tetapi yang pertama saya kena fikir dahululah saya nak bertanding atau tidak…nanti saya akan bagi tahu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Proram Raikan Wanita dan Program Selami Kasih Yayasan Kebajikan Negara di sini pada Selasa.

Majlis turut dihadiri oleh Ketua Wanita Umno Pahang yang juga Pengerusi Majlis Pembanguna­n Wanita dan Keluarga Parlimen Bentong Datuk Roslin Abdul Rahman dan Pengerusi Jawatankua­sa Pembanguna­n Wanita dan Keluarga, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin.

Shahrizat yang juga Ketua Wanita Umno Bahagian Kepong sebelum ini juga pernah menepis desas desus yang mengatakan beliau akan bertanding di Parlimen Putarajaya dan Sungai Besar, namun tidak pernah menafikan bakal bertanding pada PRU14 nanti.

Sementara itu, Shahrizat turut melahirkan rasa puas hati dengan persiapan keseluruha­n jentera Wanita di seluruh negara untuk menghadapi PRU14 termasuk jentera Wanita di Pahang.

“Mereka telah bersedia untuk ‘bertempur’ bagi PRU14 nanti dan gerak kerja untuk mendekati pengundi telah lama kita lakukan, cuma kini kita menunggu tiupan semboyan daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak,” katanya.

Beliau juga melahirkan keyakinan jumlah calon wanita yang akan bertanding pada PRU14 kali ini lebih ramai berbanding pada PRU yang lalu .

Pada Program Selami Kasih YKN sebelum itu, Sahrizat yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YKN turut menyampaik­an sumbangan kepada 50 penerima dari Parlimen Bentong yang terdiri daripada pelbagai bangsa.

Setiap penerima mendapat sumbangan wang tunai serta bantuan makanan yang disumbangk­an menerusi program yang dilancarka­n sendiri oleh Najib pada 7 Mac baru-baru ini.- Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia