Utusan Borneo (Sabah)

DUN Terengganu dibubarkan pada Isnin

-

KUALA TERENGGANU: Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu dibubar pada Isnin bagi memberi laluan kepada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata pembubaran DUN Terengganu itu telah diperkenan­kan oleh Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin selepas beliau menghadap baginda di Istana Syarqiyyah, di sini kira-kira 10.17 pagi Isnin.

“Dengan pembubaran ini ia memberi kuasa kepada rakyat untuk memilih kerajaan yang mereka kehendaki,” katanya kepada pemberita dalam sidang media khas di Wisma Darul Iman, di sini.

Jumaat lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumka­n pembubaran Parlimen berkuat kuasa Sabtu dan meminta kerajaan negeri, kecuali Sarawak, turut membubarka­n DUN masing-masing bagi membolehka­n PRU14 dilakukan secara serentak.

Terengganu mempunyai lapan kerusi Parlimen dengan masing-masing empat disandang BN dan PAS. BN menang 17 daripada 32 kerusi DUN manakala PAS (14) dan PKR (satu).

Dalam ucapannya, Ahmad Razif mengucapka­n terima kasih kepada rakyat negeri Terengganu kerana telah memberi kepercayaa­n kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk mentadbir negeri sepanjang tempoh lima tahun.

“Kerajaan BN telah melaksanak­an dan memberikan yang terbaik untuk rakyat. Kuasa kini dipulangka­n semula kepada rakyat untuk memilih kerajaan yang mereka inginkan.

“Bagi pihak BN kami berikrar bahawa sekiranya kami diberi mandat sekali lagi untuk menubuhkan kerajaan, kami akan pastikan keamanan, kemakmuran dan kesejahter­aan yang kita nikmati selama ini dapat dikekalkan selaras dengan kerangka dan prinsip Transforma­si Terengganu Baharu (TTB) yang terkandung dalam Maqasid Syariah,” katanya.

Tambah beliau, BN akan menghadapi PRU14 ini dengan yakin berdasarka­n pencapaian­nya yang lalu. -Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia