Utusan Borneo (Sabah)

Shah Firdaus tidak leka dengan pujian

-

SEPANG: Selepas melakar kejayaan menewaskan pelumba tuan rumah dan juara dunia, Matthew Glaetzer pada temasya Sukan Komanwel di Gold Coast, Australia, pelumba muda negara Shah Firdaus Sahrom tidak mahu leka dengan pujian.

“Saya mahu jadikan kejayaan menewaskan juara dunia itu sebagai satu motivasi kepada saya untuk terus mencipta kejayaan. Saya tidak mahu leka dengan pujian. Banyak lagi kejohanan yang perlu saya sertai untuk tingkatkan prestasi,” kata pelumba berusia 22 tahun itu.

Menurut Shah Firdaus, sejurus kejayaan menewaskan Glaetzer, beliau menerima banyak ucapan tahniah, namun bagi dirinya ia satu pencapaian terbaik dalam kerjaya berbasikal beliau.

“Ramai yang mengucapka­n tahniah...Glaetzer sendiri ada berjumpa saya selepas peringkat suku akhir dan mengucapka­n tahniah.

“Media di sana gelar saya ‘giant killer’ tetapi saya tidak terlalu bangga dengan pencapaian itu. Bagi saya semua pelumba adalah sama, semua ada peluang untuk menang. Saya tidak mahu terus leka sebaliknya fokus dan cuba meraih podium di Sukan Asia nanti,” katanya.

Kejayaan Shah Firdaus menewaskan Glaetzer di pusingan pertama acara pecut individu dilihat sebagai suatu kejutan terbesar sepanjang acara berbasikal trek Sukan Komanwel Gold Coast berlangsun­g di Velodrom Anna Meares.

Glaetzer yang meraih gelaran pecut dunia di Belanda baru-baru ini, menjadi sandaran tuan rumah, Australia untuk meraih pingat emas dalam acara itu.

“Semasa melihat senarai pelumba dan sebagai pelumba tempat terakhir layak, saya terpaksa bertemu Glaetzer. Saya kata pada diri saya walaupun dia seorang juara dunia, saya tidak mahu memberikan laluan mudah kepadanya,” katanya. Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia