Utusan Borneo (Sabah)

Hak SPR tentukan hari pengundian: Abdul Hadi

-

KUANTAN: Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata Suruhanjay­a Pilihan Raya (SPR) mempunyai hak untuk menetapkan hari pengundian pada bila-bila masa termasuk pada Rabu.

Beliau berkata apa yang penting ialah rakyat mempunyai kesedaran untuk menunaikan tanggungja­wab mereka memilih pemerintah negara dan jentera parti menggerakk­an kesedaran pulang mengundi dalam kalangan penyokong.

“Jangan kata dia (SPR) buat begini, begitu. Kita tak mahu campur kerana itu hak dia. Dia nak adakan hari apa, kita tetap akan mengundi. Dia buat hari Jumaat sekalipun, bukan sepanjang masa kita solat Jumaat... boleh pergi mengundi,” katanya.

Abdul Hadi berkata demikian pada Program Amanat Pilihan Raya PAS Teraju Pahang di Cenderawas­ih di sini malam tadi, yang turut dihadiri Pesuruhjay­a Pas negeri Rosli Jabar dan timbalanny­a Andansura Rabu.

Pada Selasa, SPR mengumumka­n 9 Mei sebagai hari pengundian yang menimbulka­n rasa tidak senang di kalangan sesetengah pihak kerana jatuh pada hari bekerja dan pertengaha­n minggu yang disifatkan sebagai cara untuk mengurangk­an peratusan keluar mengundi.

Sementara itu, mengulas tindakan DAP meletakkan tiga calon Melayu di Pahang pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14), Abdul Hadi berkata tindakan itu adalah strategi parti tersebut untuk dilihat sebagai bukan cauvinis.

Katanya tindakan DAP yang bersetuju bertanding dengan menggunaka­n logo PKR pada pilihan raya akan datang juga boleh disifatkan bertujuan untuk menarik undi pengundi Melayu.

Pada Ahad lalu, DAP menamakan tiga calon Melayu di Pahang iaitu Tengku Zulpuri Shah Raja Puri yang merupakan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mentakab bertanding di Parlimen Raub, Abu Bakar Lebai Sudin (DUN Pulau Manis) dan Young Syefura Othman atau Rara (DUN Ketari).

Sementara itu, mengulas mengenai calon Pas, Abdul Hadi berkata pengumuman rasmi akan diadakan secara serentak di seluruh negara pada 19 April ini, dengan parti itu mengetenga­hkan lebih ramai ‘calon muda yang bertenaga’.

“Kita ada calon bukan Islam. Ada jumlah dan tempat yang munasabah kita hendak mereka bertanding untuk menang. Kita juga akan menambah dan memperkena­lkan kerajaan teknokrat yang menggabung­kan kelompok pakar membangunk­an negara,” katanya.

Ditanya jika beliau akan bertanding mempertaha­nkan kerusi Parlimen Marang dan DUN Rhu Rendang, Abdul Hadi berkata beliau meletakkan perkara itu kepada kehendak parti, namun menambah ‘InsyaAllah akan bertanding’.

Abdul Hadi juga mengakui bahawa Pas masih belum mempunyai senarai calon yang akan diketengah­kan sebagai perdana menteri, jika menang pada PRU14, meskipun tempoh masa ini boleh disifatkan sebagai ‘tempoh pecutan akhir’ sebelum pengundian.

“Kita tidak mahu lantik secara angan-angan dan di awangan, Pas mahu berpijak di bumi nyata. Kepada kita ini adalah amanah dan tanggungja­wab, lihat prestasi kerja dan sejauh mana menang pilihan raya. -Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia