Utusan Borneo (Sabah)

Ops Burung cantas sindiket samun rumah sarang burung walet

-

SIBU: Ops Burung yang dilancarka­n Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) berjaya memberkas sembilan ahli kumpulan samun rumah sarang burung walet dan seorang tauke dalam lima serbuan berasingan di sini, pagi Selasa.

Kesemua suspek merupakan lelaki tempatan dan tidak bekerja, berumur antara 21 dan 33 tahun, serta diketuai seorang lelaki, 30-an, yang berasal dari Mukah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak Datuk Dev Kumar berkata, seorang lelaki berusia 52 tahun yang merupakan pembeli sarang burung juga ditangkap di rumahnya di Jalan Kapor.

Katanya, tauke sarang burung terbabit akan membeli sarang burung dengan harga RM2,000 sekilogram dan sarang burung yang diproses akan dieksport ke China.

Dev berkata, pasukan juga berjaya merampas pelbagai jenis senjata termasuk parang, sabit, taji ayam, tombak dan peluru senapang patah, peralatan pecah rumah, 20 unit telefon bimbit, peralatan pecah rumah dan hampir satu kilogram sarang burung yang diproses.

Katanya, penangkapa­n semua suspek dilakukan di lima lokasi termasuk sebuah pusat karaoke di Jalan Ek Dee, rumah kedai di Jalan Chengal dan Jalan Jerawit Barat, sebuah rumah tidak bernombor di Jalan Rambutan dan sebuah rumah lagi di Jalan Kapor dalam operasi yang bermula jam 2.30 pagi hingga 9 pagi Selasa.

Menurutnya, polis mula menghidu pergerakan kumpulan itu apabila mereka menyamun sebuah lori kren bernilai RM200,000 di sebuah kilang bata di Bintulu pada September 2017.

“Lebih kurang 10 suspek mengikat seorang pekerja dan membawanya lari, sebelum mencampakk­anya keluar dari kereta di Simpang Sebauh dalam kejadian itu,” jelasnya.

Dev berkata, modus operandi kumpulan itu ialah mereka akan bersenjata­kan senapang patah dan parang untuk memasuki rumah sarang burung walet di Sibu, Mukah, Tatau, Matu Daro, Sarikei, Saratok dan Betong.

“Suspek-suspek akan mencedera dan mengikat pekerja rumah burung sebelum mengambil sarang burung.

“Kami percaya nilai sarang burung yang disamun kumpulan ini mencecah RM1 juta,” dedahnya.

Kesemua 10 suspek terbabit akan dibawa ke mahkamah pada petang Rabu untuk mendapat perintah reman.

 ??  ?? DEV sedang memeriksa sarang burung yang dirampas di sebuah lokasi serbuan Ops Burung.
DEV sedang memeriksa sarang burung yang dirampas di sebuah lokasi serbuan Ops Burung.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia