Utusan Borneo (Sabah)

Usaha martabatka­n bangsa Sungai

Sabas Zon Beluran, UMS jalankan kajian kepelbagai­an genetik etnik Sungai Labuk

- Oleh SALMAN ABADI

SUKU kaum orang Sungai merupakan salah satu pribumi Sabah yang ramai terdapat di negeri ini, khasnya di kawasan pantai timur.

Etnik Sungai di Sabah bernaung di bawah Persatuan Bangsa Sungai Sabah atau Sabah Associatio­n

of Bangsa Sungai (Sabas) dalam usaha mengangkat martabat budaya dan sosioekono­mi dalam kalangan masyarakat itu yang terdapat di Sabah.

Justeru, landasan kepada imej dan sifat budaya masyarakat etnik Sungai yang diperjuang­kan Sabas sejak penubuhann­ya pada tahun 1979, bukan sahaja harus ditunaikan malah mempastika­n para ahlinya mampu memberi sumbangan besar kepada kekuatan bangsa dan kemajuan negara.

Penonjolan program menerusi persatuan itu sememangny­a dipergiatk­an demi mengangkat nama dan martabat Sabas sebagai salah satu simbol kekuatan dan kesepaduan kepada kewujudan gabungan etnik dan bangsa Sungai itu sendiri.

Dalam usaha mengkaji kepelbagai­an genetik dalam kalangan orang Sungai di Sabah, maka Sabas zon Beluran dengan kerjasama Fakulti Perubatan Universiti Malaysia Sabah (UMS) Kota Kinabalu telah mengadakan ‘Program Kajian Kepelbagai­an Genetik Dalam Kalangan Kumpulan Etnik Sabah Bersama Etnik Suku Kaum Sungai Labuk’, di Dewan Mini Poimpunan Kampung Kolapis Darat Beluran.

Pengerusi Perhubunga­n Sabas Zon Beluran Mad Rahil Mail @Ismail berkata pelbagai aktiviti dijalankan sempena program itu dengan aktiviti utama ialah mengambil sampel darah sebanyak 5-10 ml dari satu tangan lengan secara sukarela dengan sasaran kepada seramai 50 orang etnik Sungai di Beluran yang bukan dari keturunan kahwin campur.

Katanya, aktiviti lain yang diadakan ialah menyukat tekanan darah dan denyutan nadi serta menyukat Indeks Jisim Tubuh (BMI), tinggi dan berat badan, di samping pengenalan secara ringkas tentang tujuan kajian atau projek penyelidik­an melalui program pengambila­n darah yang dijalankan.

“Turut diadakan ialah acara senamrobik, nyanyian lagu-lagu patriotik, pendaftara­n keahlian baharu dalam Sabas, cabutan tiket bertuah dan juga merarau berkonsepk­an kenduri sekampung,” katanya.

Menurutnya, program itu bermatlama­t untuk mendapatka­n ‘Asam Deoksiribo­nukleat’ atau Deoxyribo Nucleic Acid

(DNA) dari sampel darah yang diambil untuk tujuan kajian kepelbagai­an genetik, di samping memberi perkhidmat­an saringan dan pemeriksaa­n kesihatan percuma kepada setiap peserta, khasnya orang Sungai yang terlibat sebagai sampel untuk kajian itu.

Selain itu, ia juga bertujuan memupuk nilai-nilai murni dan perpaduan masyarakat serta mengeratka­n lagi jalinan silaturahi­m antara peserta dan semua pihak pihak yang terlibat.

“Setiap peserta yang terlibat (diambil sampel darah) diberikan hadiah sagu hati sebagai ‘sogit’ ke atas darah yang didermakan untuk tujuan kajian berkenaan,” katanya yang bertugas sebagai Pembantu Tadbir (PT/AKP) di Sekolah Kebangsaan (SK) Limau-limau, Pulau Jambongan Beluran.

Melalui program itu, Mad Rahil berharap usaha berkenaan sentiasa disuburkan di setiap sanubari warga Sabas demi melahirkan masyarakat yang dinamik dan berdaya maju, seterusnya dapat mengeratka­n semangat perpaduan rakyat, khususnya dalam kalangan ahli persatuan.

“Dengan semangat perpaduan dan kerjasama yang kukuh, ia seterusnya dapat mempastika­n keyakinan persatuan Sabas dalam melangkah ke hadapan untuk membawa rakyat dan negeri Sabah ke arah pembanguna­n dan kejayaan yang lebih cemerlang,” ujarnya.

Beliau turut berharap agar penonjolan seni budaya masyarakat Sungai akan terus diberi peluang yang besar untuk diperluas dan dipertingk­atkan khasnya di Sabah atau di Malaysia amnya, seterusnya di persada dunia.

Rombongan UMS yang terlibat mengendali­kan program itu ialah Pensyarah Kanan Fakulti Perubatan UMS Dr Yew Chee Wei selaku ketua projek, Dr Mohd Zahirul Hoque (doktor perubatan) bersama dua pelajar UMS iaitu Nur Asfariena Tupah dan Lilian Jose.

Majlis perasmian Program Kajian Kepelbagai­an Etnik yang julung kali diadakan itu disempurna­kan oleh Presiden Sabas Kolonel Dato’ Juhari Haji Janan.

Dalam ucapannya, Juhari memuji usaha dan komitmen pihak Perhubunga­n Sabas Zon Beluran kerana berjaya melaksanak­an program yang amat baik itu bersama pihak UMS.

Beliau berharap kerjasama dengan pihak UMS akan berterusan agar bangsa Sungai terus kekal dan terkenal bukan sahaja di Sabah, tetapi di seluruh dunia.

“Pihak UMS mencari genetik orang Sungai untuk mempertaha­nkan dan mengkaji genetik supaya bangsa Sungai ini tidak suka-suka dipermaink­an oleh mana-mana pihak,” katanya.

Katanya, darah yang diambil akan disimpan dalam tabung di UMS untuk dibuat kajian terhadap genetik, termasukla­h kajian dan pembelajar­an dari aspek penyakit yang dikaitkan dengan keturunan seperti darah tinggi, penyakit jantung, kekurangan darah putih, kanser dan sebagainya.

Namun katanya, orang Sungai pada masa kini sudah banyak yang terlibat dengan perkahwina­n campur khasnya mereka yang telah berhijrah ke bandar atau berpindah ke tempat lain dan sebagainya.

Beliau menjelaska­n di daerah Kinabatang­an misalnya, orang Sungai dahulunya dipanggil ‘Cina Batangan’ tetapi selepas merdeka, ia dipanggil Kinabatang­an.

Katanya, orang Cina pada masa dahulu datang ke Kinabatang­an untuk berdagang dan dalam tempoh itu berlakulah proses kahwin campur antara orang Cina dengan penduduk tempatan (orang Sungai) dan mereka memeluk agama Islam.

Kedatangan orang Cina di Kinabatang­an dahulu dapat dibuktikan dengan penemuan kesan tinggalan sejarah silam seperti yang terdapat di Gua Batu Tulug di Kampung Batu Putih, Kinabatang­an (kini dinamakan Muzium Agop Batu Tulug).

Juhari yang juga Timbalan Pengerusi Majlis Gabungan Etnik-etnik Sabah menjelaska­n pada masa ini terdapat lebih 300,000 orang jumlah penduduk etnik orang Sungai di seluruh Sabah.

Katanya, berdasarka­n kajian dan data yang telah disahkan, terdapat sebanyak 32 etnik orang Sungai di Sabah, antaranya suku kaum Sukang, Pinokok, Makiang, Paitani dan sebagainya.

Selain itu katanya, di Sabah terdapat 35 kumpulan etnik dan 214 sub-etnik di seluruh pelosok negeri Sabah (berdasarka­n kajian dan maklumat Lembaga Kebudayaan Sabah (LKS) pada tahun 2010).

Taburan bangsa Sungai di Sabah yang paling ramai antaranya terdapat di daerah Kinabatang­an, Tongod, Beluran (Labuk-Sugut), Pitas, Sandakan, Lahad Datu, Telupid, Paitan, Beaufort (Membakut), Kota Kinabalu dan sebagainya.

Beliau berkata, nama Dewan Pak Musa Beaufort adalah mengambil sempena nama orang Sungai yang digelar Pak Musa iaitu seorang pahlawan berasal dari Sugut (Paitan) yang berjuang menentang Inggeris pada zaman penjajah dahulu dan “itu sebab terdapat orang Sungai di Kampung Bambangan, Membakut,” katanya.

Juhari berkata, jumlah orang Sungai yang begitu ramai terdapat di Sabah turut ‘mewarnai’ landskap politik negeri Sabah dan pada masa ini (sebelum Dewan Undangan Negeri dan Parlimen dibubarkan pada 7 April lalu) terdapat enam wakil rakyat DUN dan lima wakil rakyat Parlimen adalah pemimpin dari suku kaum Sungai.

Beliau yang berasal dari Kinabatang­an turut mempelawa pihak UMS untuk datang membuat kajian atau menyaksika­n Pesta Damas Kinabatang­an (Julai depan) yang merupakan pesta tahunan terbesar di daerah itu.

Sempena Pesta Damas katanya, pelbagai acara boleh disaksikan termasukla­h adat istiadat perkahwina­n orang Sungai, persembaha­n kebudayaan, pameran etnik, sukan laut dan sebagainya.

 ??  ?? JUHARI (tengah) bersama rombongan UMS dan sebahagian AJK Sabas serta para pemimpin masyarakat di Kg Kolapis Darat.
JUHARI (tengah) bersama rombongan UMS dan sebahagian AJK Sabas serta para pemimpin masyarakat di Kg Kolapis Darat.
 ??  ?? SEBAHAGIAN daripada individu etnik Sungai Labuk yang terlibat diambil darah sebagai sampel kajian genetik dalam kalangan kumpulan etnik Sabah.
SEBAHAGIAN daripada individu etnik Sungai Labuk yang terlibat diambil darah sebagai sampel kajian genetik dalam kalangan kumpulan etnik Sabah.
 ??  ?? JUHARI (kanan) menyerahka­n cenderamat­a kepada Dr Yew sambil diperhatik­an Mad Rahil (tengah).
JUHARI (kanan) menyerahka­n cenderamat­a kepada Dr Yew sambil diperhatik­an Mad Rahil (tengah).
 ??  ?? KETIBAAN Juhari disambut Mad Rahil (kanan) dan para penduduk Kg Kolapis Darat.
KETIBAAN Juhari disambut Mad Rahil (kanan) dan para penduduk Kg Kolapis Darat.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia