Kemenangan bakal sahkan aksi Liga Juara Juara musim hadapan The Reds
LIVERPOOL, England: Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp berharap prestasi turun naik pasukannya boleh dilupakan apabila cuba melupakan kegembiraan apabila menanti kunjungan Bournemouth dalam aksi Liga Perdana Inggeris hari ini.
Kemenangan akan memastikan Liverpool semakin mengesahkan kelayakan ke Liga Juara-Juara pada musim hadapan, beberapa hari selepas melangkah ke separuh akhir kejohanan elit kelab Eropah itu buat kali pertama dalam tempoh satu dekad.
Liverpool menewaskan pendahulu Liga Perdana, Manchester City 5-1 secara agregat pada perlawanan suku akhir Liga JuaraJuara.
Mereka juga mendahului pasukan di tangga kelima, Chelsea dengan 10 mata walaupun Chelsea kurang satu perlawanan untuk saingan kelayakan ke Liga JuaraJuara selain hanya tewas dua kali dalam liga dari 24 perlawanan.
Bagaimanapun, salah satu kekalahan itu ialah kekalahan 0-1 di Swansea, lapan hari selepas menewaskan City 4-3 di Anfield dalam liga, sesuatu yang mahu dielakkan oleh Klopp kali ini.
“Kami sudah matang secara konsisten. Pemain semakin biasa dengan situasi seperti ini,” kata Klopp selepas menewaskan City buat kali ketiga dari empat pertemuan musim ini.
“Jika anda boleh berkata sesuatu yang buruk tentang kami sejak beberapa bulan yang lalu, pada hari yang bagus, kami boleh menewaskan sesiapa pun dan pada hari yang buruk, kami boleh bolos dengan mudah. Kami cuba mengubahnya. Kami masih dalam fasa pembangunan dan begitulah situasinya tetapi kami sudah merupakan pasukan yang bagus.”
Apa yang penting kepada konsistensi Liverpool ketika ini kehadiran pemain pertahanan tengah, Virgil van Dijk.
Pemain dari Belanda itu dibeli dengan nilai 75 juta pound dari Southampton pada bulan Januari dan pertahanan Liverpool hanya bolos tujuh gol dari 13 perlawanan dalam semua pertandingan.
Van Dijk juga membawa kepimpinan di benteng pertahanan, sesuatu yang tiada sebelum ini dan membantu meningkatkan pemain di sekelilingnya seperti penjaga gol Loris Karius, pemain pertahanan tengah, Dejan Lovren dan dua pemain kurang berpengalaman, Andy Robertson dan Trent Alexander-Arnold.
Dari 20 cubaan City ketika menentang City Selasa lepas, 12 cubaan dihadang pertahanan di hadapan Karius selain Liverpool mempamerkan satu lagi aksi menyerang menarik dari Mohamed Salah, Roberto Firmino dan Sadio Mane.
Salah dan Firmino menjaringkan gol pada perlawanan Selasa lepas dan gandingan mereka sudah menjaringkan 79 gol musim ini.
Klopp harus membuat keputusan sekiranya mahu menurunkan ketiga-tiga pemain itu hari ini atau merehatkan pemain dengan perlawanan separuh akhir pertama Liga Juara-Juara adalah pada minggu hadapan.
Bournemouth ketika ini memiliki kelebihan 10 mata dari zon penyingkiran dan pemain sayapnya, Ryan Fraser percaya mereka tidak mempunyai sebarang pilihan pada kunjungan di Anfield.
“Menentang pasukan yang kuat, anda perlu lupa saingan mengelak penyingkiran dan menikmatinya,” kata beliau. “Kami pergi ke Old Trafford (Manchester United) pada awal musim dan dalam separuh masa kedua kami mencemaskan mereka tetapi kekalahan 0-1 tetap tidak menggembirakan. Anda bagaimanapun harus menikmati pengalaman ini.” — AFP