Utusan Borneo (Sabah)

Institut latihan NIOSH bagi Sarawak, Sabah bakal ditubuh di Serian

-

SERIAN: Sarawak bakal mempunyai sebuah institut latihan bagi meningkatk­an kesedaran tentang keselamata­n di tempat kerja iaitu Institut Keselamata­n dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) terletak di Serian.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot Jaem berkata, institut bagi Sabah dan Sarawak itu telah dipersetuj­ui NIOSH yang juga antara agensi di bawah kementeria­nnya.

“Di sini, saya mahu mengumumka­n bahawa NIOSH iaitu sebuah agensi di bawah Kementeria­n Sumber Manusia telah mengadakan beberapa mesyuarat.

“NIOSH bersetuju untuk menubuhkan institut latihan bagi Sabah dan Sarawak di Serian dan kita di Serian bertuah kerana sudah ada Institut Latihan Perindustr­ian (ILP) dan seterusnya NIOSH,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Hari Terbuka Keselamata­n dan Kesihatan Pekerjaan (OSH) di Sekolah dan Projek Pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak yang dihadiri Pengerusi NIOSH Tan Sri Lee Lam Thye, pada Jumaat.

Tambah Riot, Serian amat bertuah kerana dipilih untuk menjadi lokasi NIOSH selain daripada ILP yang dijangka siap menjelang 2021.

“Bagi ILP saya telah meminta dan mahu kerja pembinaan dimulakan sekurang-kurangnya minggu pertama Mei,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai program diadakan katanya, ia adalah satu inisiatif wajar untuk diadakan di sekolah memandangk­an kemalangan tidak hanya berlaku di tempat kerja tetapi boleh berlaku di sekolah dan rumah.

Jelasnya, banyak kes melibatkan pelajar atau murid yang meninggal di sekolah akibat kemalangan dan ia tidak harus dibiarkan terus berlaku sebaliknya ditingkatk­an lagi kesedaran.

“Maka itu program OSH di sekolah seperti ini amat baik untuk menyemai kesedaran kepada semua pihak sama ada guru besar atau pengetua, guru, murid atau pelajar dan ibu bapa,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia