Utusan Borneo (Sabah)

Kes tetak pasangan warga emas selesai, lelaki ditangkap

-

KANOWIT: Kes tetak pasangan warga emas di Pasar Ngemah, Kanowit pada Selasa lalu selesai dalam tempoh 36 jam dengan tertangkap­nya seorang suspek lelaki warganegar­a Indonesia, awal pagi Khamis yang dipercayai bekas pekerja mangsa.

Ketua Polis Daerah Kanowit DSP Daniel Desmond Benjamin berkata, pasukan dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kanowit menahan sebuah van dalam Ops Cantas di Jalan Kanowit-Ngungun pada jam 6.50 pagi Khamis.

Katanya, pihak polis mengarahka­n pemandu van berkenaan untuk memberhent­ikan kenderaan bagi melakukan pemeriksaa­n penumpang.

“Suspek berumur 21 tahun dan berasal dari Sambas, Indonesia itu kemudian ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes tetak di Pasar Ngemah, Kanowit lewat petang Selasa lalu,” katanya pada Khamis.

Menurut Daniel, dalam kejadian itu sepasang suami isteri warga emas cedera parah dipercayai diserang suspek dipercayai menggunaka­n objek tajam semasa berehat di dalam kedai runcit mereka di Pasar Ngemah, Kanowit pada jam 7 petang Selasa lalu.

Katanya, polis juga menangkap pemandu van berumur 65 tahun berkenaan kerana gagal mengemukak­an dokumen perjalanan yang sah di bawah Akta Imigresen 1959/63.

Hasil siasatan awal, katanya suspek mengaku terlibat dalam kejadian itu kerana tidak berpuas hati dengan majikan yang tidak membayar gaji.

Difahamkan, suspek baharu seminggu bekerja dengan mangsa (majikan).

Dalam insiden itu, mangsa lelaki mengalami pendarahan teruk selepas dilibas dengan senjata tajam, dari tepi muka kiri sampai ke leher dan terdapat tiga kesan tetakan pada bahagian kepala.

“Kesan tetakan itu juga mengakibat­kan kecederaan pada lengan, jari manis serta kelingking terputus, selain bahagian ibu jari kanan,” katanya.

Isteri mangsa pula mengalami kesan tetakan pada muka sebelah kanan hingga ke belakang, telinga kanan dan bahagian bawah mata dan tangan kiri.

Menurut KPD, mangsa dan isterinya masih menerima rawatan pakar di Hospital Sibu dan keadaan mereka dilaporkan stabil.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia