Utusan Borneo (Sabah)

Seorang lagi bayi ditinggalk­an ibunya

- Oleh AMIR ANUAR

TAWAU: Belum pun reda kes penemuan bayi di Batu 3.5 Jalan Apas, seorang lagi bayi ditinggalk­an di hadapan pintu pagar masjid di kawasan Checkpoint Batu 38 Jalan Apas Balung di sini, kira-kira jam 7.40 pagi Isnin.

Ketua Polis Daerah Tawau ACP Fadil Marsus berkata bayi perempuan yang dipercayai baharu sahaja dilahirkan itu ditemukan oleh seorang peniaga, Sawaria Ibnu Hassan, 36, semasa hendak berniaga nasi lemak di hadapan masjid.

“Pemeriksaa­n awal Pegawai Perubatan Hospital Tawau Dr Nik Kasyfun mendapati bayi itu masih bertali pusat dan dilahirkan kurang dari tempoh 24 jam dengan berat 2.75kg,” katanya.

Hasil pemeriksaa­n katanya, mendapati bayi berkenaan masih hidup tanpa mengalami sebarang kecederaan fizikal, malah keadaannya juga didapati sihat dan stabil.

Beliau berkata bayi terbabit akan ditempatka­n di Wad CMW Pediatrik Hospital Tawau untuk pemerhatia­n dan rawatan selanjutny­a.

“Polis menerima laporan pada jam 11.31 pagi oleh pengadu yang mengatakan menemukan seorang bayi perempuan yang berbalut dengan kain tuala, semasa hendak memulakan perniagaan­nya.

“Pengadu menjual nasi lemak di hadapan masjid dan ternampak sesuatu yang berbungkus di tempat kejadian sebelum mendapati ada bayi yang masih hidup di atas kain sejadah,” katanya.

Fadil berkata, berikutan itu pengadu terus membuat panggilan dan melaporkan kes itu ke Balai Polis BSI sebelum wanita terbabit dibawa ke Hospital Tawau bersama bayi berkenaan.

Siasatan berhubung kes itu dibuka mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembuny­ikan kelahiran bayi dengan niat membuang bayi berkenaan.

Individu yang didapati melakukan kesalahan ini boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih dari tujuh tahun dan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, pada 14 April lepas, masyarakat dikejutkan dengan kes penemuan seorang lagi bayi perempuan di pondok perhentian bas Batu 3.5 Jalan Apas oleh seorang pembantu kedai kopi.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia