Utusan Borneo (Sabah)

Idris Haron, Mas Ermieyati pertahan kawasan

-

MELAKA:Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka Datuk Seri Idris Haron akan mempertaha­nkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) nanti.

Idris ketika mengumumka­n senarai calon BN Melaka dalam satu majlis di Ayer Keroh di sini hari ini turut mengumumka­n Ketua Pergerakan Puteri UMNO Datuk Mas Emieyati Samsuddin juga akan mempertaha­nkan kerusi Parlimen Masjid Tanah.

Bekas Ketua Menteri Melaka Tan Sri Mohd Ali Rustam dicalon semula untuk Parlimen Hang Tuah Jaya, yang sebelum kajian semula persempada­nan kawasan pilihan raya adalah Parlimen Bukit Katil, dan pada PRU lepas beliau tewas dengan majoriti 5,447 undi di kawasan itu.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Abu Bakar Dr Abu Bakar Mohamad Diah bertukar kerusi daripada Parlimen Tangga Batu ke DUN Paya Rumput, manakala tempatnya akan digantikan Ketua Pemuda UMNO Melaka Datuk Zali Mat Yasin.

Pengerusi MCA Melaka Lim Ban Hong pula akan mempertaha­nkan DUN Klebang, manakala bekas Pengerusi MIC Melaka Datuk M.S Mahadevan tidak disenarai dan tempatnya di DUN Gadek digantikan Setiausaha MIC Melaka Datuk P. Panirchelv­am.

Melaka mempunyai 28 kawasan DUN serta enam kawasan Parlimen yang ditandingi keseluruha­nnya oleh BN pada PRU14 dan pada PRU13, BN menguasai 21 kawasan DUN dan empat kawasan Parlimen.

Pada majlis sama, Idris turut mengumumka­n Ketua MCA Bahagian Bukit Katil Datuk Koh Nai Kwang akan bertukar kerusi daripada Parlimen Alor Gajah ke DUN Machap Baru, tempatnya di Parlimen itu akan digantikan Setiausaha Politik Perdana Menteri, Wong Nai Chee.

Wong adalah calon penampilan semula dan pada PRU11 sebelum ini menewaskan calon DAP, Kerk Kim Hock untuk kerusi Kota Melaka, namun Wong tewas kepada calon DAP Sim Tong Him pada PRU12.

Timbalan Pengerusi UMNO Melaka Datuk Seri Ahmad Hamzah akan mempertaha­nkan Parlimen Jasin buat penggal ketiga, manakala Parlimen Kota Melaka akan ditandingi Pengerusi Biro Profesiona­l Muda dan Pelajar Pemuda MCA Choo Wei Sern yang merupakan calon muka baharu.

Pengerusi Gerakan Melaka, Datuk Chua Lian Chye dicalon semula untuk bertanding di DUN Pengkalan Batu yang sebelum kajian semula persempada­nan kawasan pilihan raya adalah DUN Bachang, manakala calon MCA Datuk Ng Choon Koon akan bertukar kerusi daripada DUN Bemban ke DUN Kesidang.

Idris berkata tiga penyandang DUN iaitu Datuk Lai Meng Chong (Machap), Datuk Ab Rahman Karim (Pantai Kundor) dan Datuk Latiff Tamby Chik (Telok Mas) telah menyatakan hasrat untuk mengundur diri pada PRU kali ini.

Dua lagi penyandang DUN iaitu Datuk Seri Md Yunos Husin (Ayer Molek) dan Datuk Sazali Muhd Din (Paya Rumput) digugurkan.

Idris berkata 12 calon muka baharu ditampilka­n BN pada kali ini antaranya Zali, Yunus Hitam (DUN Bukit Katil) dan Rahmad Mariman (DUN Ayer Molek); dan enam calon muda antaranya Bendahari Pergerakan Pemuda UMNO Abdul Razak Abdul Rahman yang akan bertanding di DUN Telok Mas.

Beliau berkata tiga calon wanita turut ditampilka­n yang kesemuanya mempertaha­nkan kawasan masing-masing iaitu Mas Ermieyati, Datuk Latipah Omar (DUN Taboh Naning) dan Datuk Norpipah Abdol (DUN Rembia).

Pada PRU14 di Melaka, UMNO bakal bertanding di 18 kawasan DUN dan empat Parlimen; MCA bertanding di lapan DUN dan dua Parlimen; MIC di satu DUN; dan Gerakan juga di satu DUN. -Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia