Utusan Borneo (Sabah)

Kenangan manis Azizah Yusuf dinobat Tokoh Kraf Negara

-

“GEMBIRA, terharu, bersyukur dan bangga”. Begitu perasaan Azizah Mohamad Yusof, 80, pengusaha kraf tekatan benang emas apabila diumum penerima anugerah Tokoh Kraf Negara 2018 sempena Hari Kraf Kebangsaan di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Berasal dari Kuala Kangsar, Perak, beliau tidak pernah menyangka komitmenny­a selama ini memartabat­kan industri seni tekatan benang emas begitu dihargai sehingga menerima pengiktira­fan tertinggi industri kraf negara.

“Siapa yang tidak bersyukur dengan pengiktira­fan sedemikian, tetapi dalam masa yang sama, saya rasa tanggungja­wab saya semakin berat untuk memastikan kelangsung­an seni tekat ini,” kata wanita berjiwa halus dari Kuala Kangsar itu dalam wawancara dengan Bernama.

Di sebalik usia emasnya, Azizah begitu bersemanga­t apabila diajak berbual mengenai tekatan benang emas, seni tradisi kebanggaan negeri Perak.

Ini kerana lebih separuh daripada usianya dihabiskan di hadapan pemidang tekat, menekuni seni tradisi yang diwarisi keluarga.

Kemahirann­ya dalam bidang ini terserlah apabila melihat beliau sungguh teliti melakukan kerjanya sehinggaka­n jari-jemarinya tidak langsung menyentuh benang emas yang sedang ditekat. Kualiti akan terjejas dan warnanya pudar andai terkena peluh di tangan.

Tampak mustahil tetapi melihat sendiri ketelitian­nya memasukkan selembar benang ke dalam lubang jarum menggunaka­n sebatang lagi jarum, sesungguhn­ya ia satu kemahiran yang memerlukan latihan bertahun-tahun lamanya.

TIDAK LOKEK ILMU

Komitmen dan sumbangan Azizah terhadap pembanguna­n dan pengekalan seni tekat sangat tinggi. Beliau juga tidak lokek ilmu sehingga tidak putus-putus memenuhi undangan mengadakan pameran, demonstras­i serta mengajar kemahiran kraf tekatan baik di dalam mahupun di luar negara.

Ketika majlis pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-13, Tuanku Mizan Zainal Abidin pada 26 April, 2007 dan majlis perkahwina­n Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim pada Mei 2007, khidmat beliau turut diperlukan ketika menyiapkan kelengkapa­n yang diperlukan.

Sepanjang tempoh 61 tahun bergelar tukang tekat, ibu kepada sembilan orang anak ini menerima pelbagai anugerah untuk hasil kerja seninya.

Pada 1995 beliau dilantik sebagai Adiguru seni tekat oleh Perbadanan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia).

Mengenai kemahiran menekat, Azizah memberitah­u Bernama, beliau belajar daripada arwah nenek dan arwah ibunya sejak beliau di bangku sekolah. Nenek dan ibunya adalah tukang tekat mahir yang sering mendapat tempahan untuk keluarga diraja dan orang kenamaan di Perak sekitar tahun 20-an dan 30-an.

“Ibu dan nenek banyak mempengaru­hi minat saya terhadap seni tekat. Dari zaman kanak-kanak sehinggala­h saya berkahwin dan mendapat anak, boleh kata dalam setiap peristiwa bersejarah dalam hidup saya, akan ada hasil tekat yang dihasilkan,” jelas Azizah yang mula menjadi guru Kemas pada 1980.

Menjadi generasi ketiga yang menyambung warisan keluarga, Azizah sehingga kini tidak pernah jemu menekat. Beliau bersyukur kerana mendapat sokongan daripada arwah suaminya, Abu Kassim Shahid.

Malah empat anaknya iaitu Mardziah, Marshitah, Maizirah dan Haris menjadi generasi keempat mewarisi kemahiran keluarga ini. Mardziah adalah pengurus syarikat milik keluarga mereka, Gesamas Sdn. Bhd yang beroperasi di Kuala Kangsar.

Azizah turut memiliki sebuah bengkel tekatan dan sebuah ruang pameran berhampira­n rumahnya di Kampung Padang Changkat, Bukit Chandan.

INGIN TERUS MENEKAT

Walaupun memiliki mesin menghasilk­an sulam tekat secara komersil, Azizah masih terus mengusahak­an tekatan benang emas tradisiona­l menggunaka­n tangan. Bagaimanap­un, itu bergantung kepada tempahan dan secara tidak langsung dapat memelihara keaslian seni berkenaan.

Di sebalik usia yang sudah lanjut dan kudratnya tidak sehebat dahulu, namun semangat yang ada pada dirinya sungguh luar biasa. Jarum dan benang emas bagaikan sudah sebati dengan dirinya dan beliau belum menunjukka­n tandatanda untuk mengundurk­an diri.

Malah jari-jemarinya masih mampu menekat biarpun peredaran waktu menjadi saksi kepada jarijemari yang dahulunya halus perlahan-lahan menampakka­n kedutan pengalaman dan usia.

Berpegang kepada prinsip, “agama dididik, moden dibela”, Azizah sering melakukan pengubahsu­aian dalam seni kraf tekatan yang lebih kontempora­ri.

Selain corak yang klasik, kreativiti­nya boleh dilihat pada motif bunga yang disulam seperti pakupakis, pucuk rebung, sulur buyung, bunga-bunga padi, anggerik, asam batu, bunga raya, kemboja dan mawar, awan larat serta tulisan khat.

USAHA KRAFTANGAN

Bagi Azizah, kraftangan banyak mengambil usaha untuk memelihara serta mengangkat industri kraf negara.

Pendedahan kepada penuntut IPT dan IPTA khususnya Institut Kraf Negara (IKN) adalah satu usaha yang bakal berhasil untuk jangka panjang.

“Saya sentiasa mengalualu­kan golongan muda kerana merekalah yang bakal meneruskan warisan kita,” katanya yang sering menerima kunjungan penuntut IPT yang berminat mempelajar­i seni berkenaan.

Sebagai tanda mengiktira­f hasil seninya, beliau sering terpilih mewakili negara ke pameran antarabang­sa seperti di Tokyo, Jepun, Singapura, Arab Saudi, Brunei dan Perancis.

Kebanyakan penyertaan­nya adalah di bawah naungan Kementeria­n Kebudayaan, Kesenian dan Warisan serta Kraftangan Malaysia.

Bagaimanap­un, kata Tokoh Kraf Negara ini, kenangan paling manis ialah apabila Kraftangan Malaysia pada Hari Kraf Kebangsaan 2018 lepas menyediaka­n satu slot khas di dalam Muzium Kraf buat para pengunjung melihat sendiri keindahan sulaman tekat benang emas yang menjadi koleksi beliau.

Antara yang dipamerkan ialah set hiasan pelamin seperti kipas, cior (alas duduk pengantin), kusyen, ombak-ombak, tetampan, bantal inai beserta tikar langkat.

Terdapat juga set bilik tidur dan set kelengkapa­n rumah serta pakaian termasuk kasut, beg tangan dan hiasan kepala yang nilai keseluruha­nnya melebihi RM100,000.- Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia