Utusan Borneo (Sabah)

Kontrak hadapan MSM dijangka meningkat menjelang Ramadan

-

KUALA LUMPUR: Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivative­s dijangka meningkat minggu ini berikutan permintaan tinggi menjelang Ramadan, kata Peniaga Kanan Interband Group of Companies, Jim Teh.

Beliau berkata, harga MSM diunjur berada dalam lingkungan RM2,300 dan RM2,400 satu tan dengan aktiviti spekulatif berkuranga­n.

Ini berikutan kebanyakan pedagang lebih bertumpu kepada usaha memantau perkembang­an Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dengan proses pembuangan undi dijalankan pada 9 Mei depan.

“Kita akan menyaksika­n permintaan kukuh daripada rantau Timur Tengah, Pakistan dan China menjelang bulan Ramadan ini. Perkembang­an kini sudah pasti akan meningkatk­an harga MSM pada minggu depan,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Pakar Produk Derivatif Phillip Futures Sdn Bhd, David Ng berkata kebimbanga­n mengenai angka eksport yang lebih lemah bagi tempoh 1-25 April beserta jangkaan pengeluara­n lebih tinggi dalam minggu-minggu mendatang akan terus memberi tekanan terhadap sentimen pasaran.

Laporan sebelum ini menyatakan penghantar­an minyak sawit Malaysia susut antara 0.8 dan 2.5 peratus dalam tempoh 25 hari pertama bulan ini berbanding tempoh sama pada Mac lepas.

Berdasarka­n tinjauan oleh syarikat-syarikat perladanga­n, pengeluara­n minyak sawit pada Mei dan tempoh berikutnya dijangka meningkat berikutan faktor cuaca dan musim pengeluara­n yang lebih baik.

Bagi asas Jumaat ke Jumaat, kontrak Mei 2018, Jun 2018 dan Julai 2018 masing-masing susut RM32 kepada RM2,378, RM2,383 dan RM2,382 satu tan manakala Ogos 2018 turun RM35 kepada RM2,381 satu tan.

Jumlah dagangan mingguan merosot kepada 131,015 lot daripada 234,348 lot pada minggu lepas manakala kepentinga­n terbuka berkuranga­n kepada 256,738 kontrak daripada 275,865 kontrak.

Di pasaran fizikal, Mei Selatan berkuranga­n RM30 kepada RM2,400 satu tan. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia