Utusan Borneo (Sabah)

Rumah mampu milik ditambah

-

KUCHING: Kerajaan negeri akan menambah pembinaan rumah mampu milik di seluruh negeri termasuk di pinggir dan luar bandar untuk menampung keperluan rumah yang tinggi dalam kalangan rakyat.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, ini kerana dalam senarai Perbadanan Pembanguna­n Perumahan (HDC) pada masa ini, terdapat seramai 67,000 rakyat Sarawak menunggu untuk membeli rumah mampu milik, dengan kebanyakan­nya adalah daripada bandar.

“Dasar saya ialah untuk menambah rumah mampu milik kerana kita hendak membantu rakyat memiliki rumah pada harga berpatutan,” ujarnya semasa mengadakan kunjungan mesra ke Rumah Mesra Rakyat 1Malaysia (RMR1M) Taman Midin, Samariang dekat sini, semalam.

Turut hadir Menteri Kerja Raya selaku calon Barisan Nasional (BN) di Petra Jaya Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Muda Undang-Undang, Hubungan Kerajaan Negeri dan Persekutua­n dan Pemantauan Projek Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) Datuk Ahmad Azizi Ali.

Abang Johari berkata, jumlah rakyat menunggu rumah yang bertambah saban tahun sekali gus menuntut lebih banyak rumah dibina bagi memenuhi keperluan tersebut.

“Apa yang berlaku sekarang ialah kita mempunyai kesesakan dalam bandar khasnya dari sudut tanah, walaupun kita sudah menaikkan densiti tetapi ruang tidak ada untuk menambah rumah melainkan pangsapuri.

“Orang muda memang suka pangsapuri, tapi ramai juga yang mahukan rumah atas tanah,” katanya.

Justeru katanya, langkah yang akan diambil ialah dengan membuka kawasan baharu di pinggir bandar namun perlu mempunyai pengangkut­an awam yang baik untuk memudahkan perhubunga­n ke bandar.

Sehubungan itu, Abang Johari berkata pelaksanaa­n Transit Aliran Ringan (LRT) amat penting yang akan dapat membuka kawasan baharu untuk dibangunka­n dengan rumah pada harga berpatutan.

“Kalau harga rumah RM250,000 ke bawah, ia mampu dibeli oleh rakyat tetapi kalau harga RM600,000 untuk rumah berkembar dan RM350,000 hingga RM400,000 untuk teres, saya fikir terlalu mahal.

“Sebab itu, kita perlu membuka kawasan baharu dan kalau ini berlaku, ramai rakyat kita akan dapat memiliki rumah yang mampu dibeli mereka,” jelasnya.

Sementara itu, SPNB berkata sebanyak 1,000 permohonan bagi RMR1M bagi tahun 2017 dan 2018 telah diluluskan di Sarawak dan 722 unit masih dalam proses perjanjian antara pemohon dan HDC.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia