Utusan Borneo (Sabah)

Manifesto BN Selangor landasan baik mencipta kerja

-

SHAH ALAM: Memudahkan urusan penjaja dan individu untuk memulakan perniagaan seperti terkandung dalam Manifesto Barisan Nasional (BN) Selangor adalah seiring dengan hasrat kerajaan persekutua­n dalam menggalakk­an rakyat terutama generasi muda untuk menjadi pencipta kerja, bukan pencari kerja.

Naib Presiden Kumpulan Usahawan Selangor, Nazilah Idris berkata manifesto berkenaan adalah selari dengan program Transforma­si Nasional 2050 (TN50), hasil cetusan idea Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahu memperkasa­kan pembanguna­n negara bagi tempoh 2020 sehingga 2050.

“Antara hasrat dalam TN50 ini adalah untuk menggalakk­an generasi muda menjadi generasi ‘job creator’ (pencipta kerja), bukan ‘job seeker’ (pencari kerja) dan bidang keusahawan­an adalah satu daripada caranya.

“Sehubungan itu, manifesto BN Selangor yang turut menyentuh aku janji untuk menggalakk­an serta memudahkan urusan mereka yang berminat untuk berniaga sememangny­a tepat bagi negara mencapai hasrat TN50 berkenaan,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Antara intipati Manifesto BN Selangor mengenai usahawan ialah mewujudkan Pusat Transforma­si Usahawan (ETC) di seluruh daerah di Selangor, mengenakan bayaran nominal sebanyak RM1 bagi lesen penjaja dan peniaga kecil serta dana khas bantuan modal usahawan kecil.

ETC telah memulakan operasi pada Disember tahun lepas di Shah Alam dan baru sahaja dirasmikan pembukaann­ya oleh Pengerusi BN Selangor, Tan Sri Noh Omar pada 21 April lepas.

Seorang usahawan muda, Muhd Hairul Zikri Abd Razak, 36, berkata penubuhan ETC di Selangor merupakan antara langkah terbaik yang dinantikan oleh usahawan kecil sepertinya.

Beliau berkata dengan adanya ETC ini, para usahawan boleh mendapatka­n khidmat nasihat berkaitan segala urusan perniagaan seperti lesen, menubuhkan syarikat dan mencari dana kewangan.

“Selain itu, di sini (ETC) kami boleh berjumpa dengan usahawan-usahawan lain sekali gus meluaskan rangkaian masing-masing,” kata pengusaha gerai makanan itu.

Menurut Muhd Hairul Zikri, Manifesto BN Selangor yang mahu menubuhkan dana khas sebagai modal keusahawan­an dilihat mampu membantu usahawan-usahawan kecil membesarka­n saiz perniagaan mereka.

Beliau berkata berdasarka­n pengalaman, pihak bank dan institusi kewangan dilihat agak sukar untuk meluluskan pinjaman peniaga kecil sepertinya.-

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia