Utusan Borneo (Sabah)

40,000 peluang pekerjaan tanda BN Terengganu prihatin pengundi muda

-

KUALA TERENGGANU: Janji Barisan Nasional (BN) Terengganu untuk mewujudkan 40,000 peluang pekerjaan dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU 14) membuktika­n kecaknaan kerajaan negeri terhadap pengundi muda.

Namun, golongan itu perlu memberi mandat kepada kerajaan negeri pada PRU14 bagi membolehka­nnya menunaikan janji berkenaan demi kesejahter­aan mereka dan rakyat Terengganu.

Pengerusi Majlis Belia Negeri Terengganu Amirullah Othman berkata manifesto BN negeri pastinya mengambil kira kemampuan BN Terengganu untuk memastikan ia berjaya dilaksanak­an sekiranya terus diberi mandat untuk menerajui negeri ini pada PRU14.

“Apa yang dijanjikan BN Terengganu itu bukanlah ‘omong kosong’ kerana kita lihat sendiri berapa banyak transforma­si dilakukan kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman untuk membantu golongan muda mendapatka­n peluang pekerjaan di sini.

“Antara yang paling berjaya setakat ini ialah Program Transforma­si Graduan Terengganu (TGTP) yang melibatkan lebih 600 graduan di 23 syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri sejak tahun lepas,” katanya kepada Bernama, pada Selasa.

TGTP adalah idea Menteri Besar sendiri yang dijenamaka­n semula daripada program Skim Penempatan Siswazah Terengganu (T-GAS) bagi membantu graduan menganggur meningkatk­an tahap keupayaan diri dengan ilmu, kemahiran dan pengalaman kerja serta lebih peluang mendapatka­n pekerjaan dalam bidang berkaitan.

Sementara itu, Presiden Persatuan Tunas Usahawan Terengganu, Amir Hakimin Che Razali berkata pengundi muda perlu memberi sokongan kepada BN kerana peluang pekerjaan adalah antara isu kritikal yang membelengg­u golongan muda ketika ini.

“Banyak peluang pekerjaan dan keusahawan­an diwujudkan jabatan dan agensi kerajaan sama ada di peringkat pusat atau negeri, contohnya, Program Graduan Usahawan Terengganu oleh Yayasan Pembanguna­n Usahawan (YPU) serta program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) oleh SME Corp Terengganu yang berjaya melahirkan hampir 600 usahawan setakat ini.

“Ini belum termasuk beberapa projek mega yang dirancang kerajaan seperti Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Lembah Silika Terengganu (TSV), Hab Teknologi Terengganu (TTH), Lebuhraya Pantai Timur fasa ketiga dan kewujudan hab digital bagi menghadapi Revolusi Industri 4.0, dengan keseluruha­nnya dijangka mewujudkan 20,000 peluang pekerjaan di Terengganu,” katanya.

Exco Pergerakan Pemuda UMNO Dungun Mohamad Armi Hitam pula berkata kerajaan sejak dahulu lagi sentiasa memastikan pembanguna­n modal insan golongan belia menepati kehendak pasaran kerja semasa.

“Program pembelajar­an dan kemahiran dalam Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), Skim Latihan 1 Malaysia (SL1M) dan Agropreneu­r Muda, contohnya, adalah platform tepat untuk golongan belia mengasah bakat mereka sebelum memasuki dunia pekerjaan atau keusahawan­an.

“Kerajaan telah menyediaka­n ruang dan peluang, dan bagi usahawan pula terdapat puluhan agensi bersedia menyalurka­n modal pembiayaan perniagaan atau geran pembelian mesin yang sesuai mengikut keperluan semasa mereka.

“Apa yang tinggal hanyalah keazaman untuk mengubah masa depan diri sendiri...saya tidak nampak manifesto yang lebih terperinci dalam memberikan jaminan pekerjaan seperti yang ditawarkan BN Terengganu kali ini,” katanya.

Sementara itu, penerima anugerah Tokoh Belia Perdana negeri Terengganu Mohd Fauzi Mat Adam berkata golongan muda negeri itu sangat bertuah kerana peluang kerja terbentang luas dalam industri gas asli, produk petroleum (termasuk petrokimia), produk asas logam dan produk getah.

“Belia Kemaman misalnya paling banyak terlibat dalam sektor huluan dan hiliran industri gas selain dan bidang pengangkut­an memandangk­an terdapat pelabuhan besar di daerah itu.

“Selain itu, peluang pekerjaan juga terbuka luas apabila kilang besi dan keluli di Kijal memerlukan 5,000 tenaga kerja apabila beroperasi dalam tempoh terdekat ini,” katanya.-

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia