Kane perlu masa kembali prestasi terbaik
Spurs kembali jarakkan kedudukan di hadapan Chelsea selepas menewaskan Watford 2-0 di Wembley Isnin lepas
LONDON, England: Harry Kane mengakui ia akan mengambil masa untuk mengembalikan prestasi terbaik selepas kecederaan buku lali tetapi percaya beliau masih mempunyai banyak masa untuk pulih menjelang kempen England di Piala Dunia 2018.
Kane menjaringkan gol ke-38 beliau musim ini ketika Tottenham Hotspur semakin mengesahkan kelayakan ke Liga Juara-Juara untuk musim ketiga berturut-turut dengan kembali menjarakkan kedudukan di hadapan Chelsea dengan lima mata ekoran kemenangan 2-0 ke atas Watford dalam aksi Liga Perdana Inggeris Isnin lepas.
Tetapi Kane sekali lagi tidak di tahap terbaik beliau dan percaya beliau boleh menjaringkan lebih banyak gol ketika dalam masa yang sama prestasi pasukannya juga hambar sejak beberapa minggu yang lalu.
“Sudah tentu saya mahu bermain lebih baik dalam beberapa perlawanan yang lalu tetapi saya fikir keseluruhan pasukan dapat merasainya,” kata Kane.
“Saya berasa bagus, berbisa dan mungkin boleh menjaringkan beberapa gol sebenarnya. “Saya tidak sabar untuk tiga perlawanan terakhir dan berharap boleh menamatkan musim seperti musim lepas untuk keyakinan di Piala Dunia nanti.”
Kane tidak beraksi selama tiga minggu selepas mengalami kecederaan buku lali ketika menentang Bournemouth bulan lepas.
Watford, tewas kali ke-11 dari 12 perlawanan di tempat lawan, menyebabkan mereka masih memerlukan satu mata untuk kekal selamat.
Tetapi mereka harus menyalahkan diri mereka sendiri kerana terlepas beberapa peluang selepas menyaingi rentak permainan Spurs.
Permulaan meyakinkan Watford bagaimanapun berkecai apabila Orestis Karnesiz gagal menangani satu hantaran lintang membolehkan Christian Eriksen mengumpan bola kepada Delle Alli untuk membuka jaringan pada minit ke-16.
Watford mempunyai banyak peluang untuk mengikat kedudukan tetapi penjaga gol Hugo Lloris menepis cubaan dari Andre Grey, Abdoulaye Doucoure dan Jose Holebas.
“Bagi kami, apa yang penting ialah menang. Sudah tentu ia bukan aksi terbaik pasukan tetapi Lloris beraksi cemerlang dan menunjukkan kenapa beliau adalah salah seorang penjaga gol terbaik dunia,” kata pengurus Spurs, Mauricio Pochettino.
Kemenangan buat Spurs adalah yang pertama dari empat perlawanan dalam semua pertandingan selepas dikecewakan di separuh akhir Piala FA oleh Manchester United minggu lepas.
Kekalahan menyebabkan Pochettino terus kemarau trofi kejuaraan di Spurs selepas empat tahun menjadi pengurus.