Utusan Borneo (Sabah)

Hanya parti Sarawak dapat tuntut hak Sarawak

-

KUCHING: Rakyat negeri ini digesa memberi sokongan kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke14 (PRU14) bagi memastikan hak Sarawak yang terhakis dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) terus disuarakan di peringkat persekutua­n.

Calon BN Parlimen Santubong Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, proses pilihan raya adalah sesuatu yang penting untuk menentukan parti mana yang mentadbir negara.

Beliau berkata, pilihan raya kali ini adalah pilihan raya yang amat penting kerana bukan hanya berhadapan dengan calon datang dari luar tetapi turut berdepan dengan parti pembangkan­g.

“Semua parti pembangkan­g yang bernaung dalam Pakatan Harapan( P H) adalah parti yang berpangkal­an di Semenanjun­g dan secara logiknya, mereka tidak mempunyai kemampuan untuk menuntut hak rakyat Sarawak.

“Hanya parti komponen BN di negeri ini sahaja yang dapat menuntut kembali hak Sarawak yang terhakis dalam MA63.

Justeru, kita (rakyat) mesti memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang juga pengerusi BN Negeri agar dengan kemenangan ini akan membawa suara rakyat Sarawak ke peringkat pusat,” kata Wan Junaidi.

Beliau yang juga Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar berkata demikian ketika berucap pada Majlis Santai Bersama Penduduk Kampung Tabuan Dani di Surau Darul Hasanah di sini, semalam.

Hadir sama, isteri Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datin Seri Feona Junaidi, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni dan Ketua Ranting Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Kampung Tabuan Dani Rahmat Sabang.

Dalam pada itu, Wan Junaidi mengingatk­an para pengundi terutama di Parlimen Santubong agar lebih berhatihat­i dengan janji ‘bulan dan bintang’ pembangkan­g.

“Bukan baharu sekarang mereka menjanjika­n bulan dan bintang malah cerita sama dimainkan lagi sekarang.

“Maka itu, pengundi Santubong tiada pilihan lain melainkan memberi sokongan padu kepada BN dengan turun beramai-ramai pada 9 Mei ini untuk memastikan kemenangan dengan majoriti besar dapat dilakar,” katanya.

Ini kerana tambah beliau, hanya kerajaan BN sahaja yang sentiasa menunaikan janji kepada rakyat dan tidak hanya bercakap, sebaliknya menterjema­hkan kata-kata melalui pelaksanaa­n.

Bercakap mengenai pembanguna­n di kampung itu, Wan Junaidi berkata dewan di kampung Tabuan Dani dapat dibina jika tapak tanah sudah dikenal pasti.

Sementara untuk pembinaan jambatan menghubung­kan Kampung Tabuan Dani dan Kampung Tabuan Haji Drahman pula katanya, dapat dilaksanak­an tetapi mesti mendapatka­n persetujua­n daripada kedua-dua pihak agar pembinaann­ya berjalan lancar tanpa sebarang gangguan.

 ??  ?? WAN Junaidi bersama Feona dan Dr Hazland merakam kenangan pada Majlis Santai Bersama Penduduk Kampung Tabuan Dani di Kuching.
WAN Junaidi bersama Feona dan Dr Hazland merakam kenangan pada Majlis Santai Bersama Penduduk Kampung Tabuan Dani di Kuching.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia