Utusan Borneo (Sabah)

SIP memberi banyak manfaat kepada pekerja

-

KUCHING: Penerima faedah Skim Insurans Pekerjaan (SIP) akan menikmati bayaran faedah sehingga 90 peratus daripada gaji bulanan mereka apabila skim ini mencapai tempoh matang tahun depan.

Pengerusi Lembaga Pertubuhan Keselamata­n Sosial Malaysia (Perkeso) Tan Sri Dr Aseh Che Mat berkata skim ini baharu empat bulan dilaksanak­an berkuat kuasa 1 Januari tahun ini.

Apabila skim ini mencapai tempoh matang nanti, penerima faedah akan dibayar sehingga 90 peratus daripada gaji bulanan mereka.

Ini bermakna, jika gaji pekerja tersebut RM4,000 sebulan, maka dia akan menerima bayaran faedah RM3,200 daripada gaji bulanannya.

“Pada masa sekarang, kerajaan memberi bayaran interim sebanyak RM600 kepada penerima faedah skim ini.

“Bagaimanap­un, pada Isnin lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah menaikkan bayaran interim ini kepada RM1,000 dengan tambahan peruntukan sebanyak RM60 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita sempena lawatan rasmi sulungnya ke pejabat Perkeso Sarawak di Wisma Perkeso di sini pada Jumaat.

Tambah Aseh, skim ini adalah penting untuk pekerja di negara ini terutama mereka yang ditimpa musibah kehilangan atau diberhenti­kan kerja oleh majikan mereka atas banyak sebab.

Dengan adanya skim ini, ia dapat melindungi kebajikan pekerja sehingga mendapat pekerjaan baharu.

SIP meliputi skop kehilangan kerja yang lebih besar seperti pemberhent­ian kerja, skim pemisahan sukarela (VSS), majikan melarikan diri, muflis, penutupan perniagaan, penstruktu­ran semula perniagaan, lebihan pekerja, automasi dan faktor-faktor lain.

Di bawah skim ini, sumbangan 0.2 peratus ditanggung oleh majikan dengan 0.2 peratus lagi daripada pekerja.

Sejak dilaksanak­an awal tahun ini, seramai 5,940 pekerja di negara ini telah menerima faedah daripada skim ini.

Manakala di Sarawak, seramai 355 pekerja telah dibayar faedah dengan jumlah bayaran sebanyak RM213,000 dengan mengambil kira bayaran interim RM600 bagi seorang pekerja.

Terdahulu Aseh turut menyerahka­n cek faedah Perkeso kepada lima penerima serta bantuan kerusi roda kepada seorang penerima diikuti penyampaia­n interim pertama kepada lima penerima faedah SIP dari Sarawak.

Turut hadir, Pengarah Perkeso Sarawak Phillip Sangkan, ahli-ahli lembaga pengarah serta kakitangan Perkeso.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia