Utusan Borneo (Sabah)

Suami dibunuh akibat hubungan sulit isteri terbongkar?

- Oleh AMIR ANUAR

TAWAU: Polis memburu isteri kepada seorang pekerja ladang yang ditemukan mati disyaki dibunuh di Kg Murai, Ladang Kretam, Kalabakan, pada Jumaat, dengan motif kejadian dipercayai berpunca selepas hubungan sulit wanita itu dengan suspek utama terbongkar.

‘Teman skandal wanita itu’ yang juga suspek utama sudah ditangkap di ladang sawit pada jarak 2 kilometer dari lokasi kejadian hasil bantuan penduduk kampung kira-kira jam 4 petang.

Ketua Polis Daerah Tawau ACP Fadil Marsus berkata polis berusaha mengesan wanita terbabit yang disyaki melarikan diri dari rumah selepas kejadian menimpa suaminya.

“Kita masih menjalanka­n usaha memburu isteri kepada si mati iaitu seorang wanita warga asing berusia 42 tahun,” katanya menerusi kenyataan medianya di sini pada Sabtu.

Fadil berkata si mati berusia 35 tahun, manakala suspek lelaki yang diberkas berumur 21 tahun, dan kedua-duanya rakyat dari negara jiran serta bekerja sebagai buruh ladang.

Menurutnya, aduan penemuan mayat mangsa dalam keadaan terbaring berlumuran darah dalam kes itu diterima daripada pengurus ladang pada Jumaat kira-kira jam 1.15 petang.

“Si mati cedera di leher, disyaki kesan tetakan benda tajam, dan kita sudah merampas tiga bilah parang panjang berukuran 70cm, 53cm dan 44cm (termasuk hulu),” katanya.

Siasatan awal polis, berlaku pergaduhan antara si mati dan suspek sebaik si isteri didapati berdua-duaan dengan suspek di rumah apabila si mati pulang pada kira-kira jam 11 pagi.

Beliau berkata siasatan polis juga menunjukka­n bahawa selepas pergaduhan itu, suspek melarikan diri melalui pintu belakang dan terus menuju ke ladang sawit berhampira­n.

“Si mati sudah bekerja selama sembilan tahun di ladang terbabit, manakala suspek pula baharu sahaja bekerja selama satu tahun di ladang yang sama,” katanya.

 ??  ?? POLIS kini memburu wanita ini.
POLIS kini memburu wanita ini.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia